PEJABAT Presiden Palestin Mahmud Abbas hari ini berkata Baitulmaqdis “bukan untuk dijual” selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam untuk menghentikan bantuan tahunan lebih AS$300 juta supaya negara itu berunding dengan Israel.
“Baitulmaqdis adalah ibu kota kekal Palestin, dan ia bukan untuk dijual beli dengan wang atau emas,” kata jurucakap Abbas, Nabil Abu Radeina kepada AFP, merujuk kepada pengiktirafan Trump yang mengangkat Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Dalam deklarasi 6 Disember oleh Abbas mengatakan AS tidak boleh memain peranan dalam proses damai di Timur Tengah.
“Kami tak menentang rundingan kembali, tetapi patut ada berdasarkan undang-undang antarabangsa dan resolusi yang mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka, selain mengiktiraf timur Baitulmaqdis sebagai ibu kota (Palestin),“ kaat Abu Rudeina.
Trump dalam akaun Twitter-nya menulis: “Kami membayar rakyat Palestin RATUSAN JUTA DOLAR setahun dan tidak mendapat penghargaan atau penghormatan.”
“Dengan rakyat Palestin tidak lagi meneruskan rundingan damai, mengapa kita perlu membuat bayaran masa depan yang besar kepada mereka?”
Tidak jelas sama ada Trump mengancam dengan semua bajet, bernilai AS$319 juta pada 2016, menurut angka kerajaan negara itu.
AS sejak sekian lama menyediakan Pihak Berkuasa Palestin dengan sokongan belanjawan dan bantuan keselamatan yang sangat diperlukan, serta tambahan AS$304 juta bagi program Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Tebing Barat dan Gaza. – AFP, 3 Januari, 2018.
Komen