PRESIDEN Donald Trump pada Selasa mengakui proses damai Timur Tengah berdepan kesulitan dan mengancam menghentikan bantuan Amerika Syarikat kepada rakyat Palestin, yang ketika ini bernilai lebih AS$300 juta setahun.
“Kami membayar rakyat Palestin ratusan juta dolar setahun dan tidak mendapat penghargaan atau penghormatan,” tulis Trump pada akaun Twitter rasminya.
“Dengan rakyat Palestin tidak lagi meneruskan rundingan damai, mengapa kita perlu membuat bayaran masa depan yang besar kepada mereka?”
Tidak jelas sama ada Trump mengancam dengan semua bajet, bernilai AS$319 juta pada 2016, menurut angka kerajaan negara itu.
AS sejak sekian lama menyediakan Pihak Berkuasa Palestin dengan sokongan belanjawan dan bantuan keselamatan yang sangat diperlukan, serta tambahan AS$304 juta bagi program Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Tebing Barat dan Gaza. – AFP, 3 Januari, 2018.
Komen