BADAN Peguam Malaysia menyokong permintaan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk bagi menyiasat dakwaan Abdul Hamid Bador mengenai konspirasi dalaman untuk menggulingkan ketua polis negara (IGP).
Badan itu berkata ia prihatin dengan dakwaan Hamid mengenai kewujudan kartel dalam pasukan polis.
Hamid berkata beberapa pegawai polis muda dalang di sebalik kartel yang berusaha menjatuhkannya dan mengawal pasukan polis untuk kepentingan sendiri.
“Tuduhan seperti itu mengejutkan dan secara serius mengikis kepercayaan masyarakat terhadap pasukan itu.
“Oleh itu, Badan Peguam Malaysia menyeru siasatan segera kenyataan IGP (Ketua Polis Negara) dengan menubuhkan RCI yang bebas untuk menyelami dasar masalah ini.
“Siasatan yang telus dan bebas harus dilakukan tanpa penangguhan bagi menentukan kebenaran tuntutan IGP yang membimbangkan, dan bagi memastikan integriti pasukan polis terpelihara,” kata presiden Badan Peguam Malaysia, AG Kalidas.
Beliau menambah kegagalan mewujudkan RCI akan menimbulkan lebih banyak persoalan.
Ini juga akan menimbulkan wujudnya masalah besar dalam pasukan polis atau mereka yang berkuasa ada sesuatu yang tersembunyi, tambahnya.
“Kenyataan IGP beri kesan kepada semua anggota pasukan polis - kebanyakannya mematuhi undang-undang dan membuat perkara terbaik bagi melindungi nyawa dan harta benda.
“Hanya RCI yang akan membantu membersih dan mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap anggota lelaki dan wanita dalam pasukan polis.”
Semalam sebuah kumpulan hak asasi, Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (Edict), menuntut RCI ditubuhkan segera bagi mengenal pasti anggota yang mahu mengawal pasukan polis untuk kepentingan sendiri.
Hamid dalam temu ramah eksklusif dengan Sinar Harian awal minggu ini mendedahkan wujudnya kartel dalam pasukan polis melibatkan pegawai polis muda yang cuba menjatuhkannya.
Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata beliau telah meminta IGP menyerahkan laporan lengkap mengenai tuduhannya, dan meminta melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
“Saya hubungi IGP semalam dan saya minta laporan lengkap dan akan umumkan perkara ini dengan jelas kepada orang ramai.
“Rakyat mungkin ada persepsi yang salah mengenai masalah ini,” kata menteri itu. – 20 Mac, 2021.
Komen