Ahli Parlimen Putatan dakwa dijanjikan imbuhan untuk belot parti


Raevathi Supramaniam

Awang Husaini Sahari mendedahkan beliau ditawarkan imbuhan sekiranya beralih sokongan kepada Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2021.

AHLI Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari berkata ada orang tengah menghubunginya lebih lima kali untuk meyakinkan beliau meninggalkan PKR dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Beliau memberitahu The Malaysian Insight ia bermula selepas Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu yang menyaksikan PN mengambil alih kerajaan pusat daripada Pakatan Harapan (PH).

“Ejen tidak dikenali menghubungi. Saya tidak tahu siapa. Mereka hanya menelefon dan memberitahu mahu berjumpa dengan saya.

“Apabila saya bertanya kepada mereka hal sebenarnya, mereka berkata ingin bertemu untuk mengajak saya menyertai PN dengan beberapa imbuhan,” kata ahli Parlimen PKR itu.

Awang Husaini berkata walaupun berterusan menolak dan enggan bertemu dengan mereka, beliau tetap menerima panggilan telefon.

Cubaan meyakinkan beliau hanya berhenti bulan lalu.

“Mereka baru saja menelefon dan berkata ingin bertemu tetapi saya menolak kerana tahu tujuannya adalah untuk meminta saya menyertai PN. Oleh itu, saya enggan bertemu mereka.

“Mereka mencuba lagi, dan saya tetap berkata tidak berminat, dan selepas itu mereka berhenti menelefon,” katanya.

Ketika ditanya mengenai hadiah yang dijanjikan kepadanya, Awang Husaini berkata ejen berkenaan tidak menyatakannya secara spesifik.

“Mereka tidak menawarkan sesuatu yang spesifik kerana tidak mahu membincangkannya di telefon.”

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendedahkan empat ahli Parlimen PKR dipujuk lompat parti dan beralih sokongan kepada PN.

Beliau berkata mereka ditawarkan imbuhan wang untuk bergabung dengan PN dan apabila gagal, taktik intimidasi digunakan.

Mereka adalah Ahli Parlimen PKR itu adalah Awang, M. Karupaiya (Padang Serai), S. Kesavan (Sg Siput), dan Michael Teo Yu Leong (Miri).

Pendedahan Anwar dibuat susulan kenyataan seorang lagi ahli Parlimen PKR, Natrah Ismail (Sekijang), yang berkata beliau ditawarkan wang untuk menukar sokongan politiknya.

Beberapa minggu kebelakangan ini, tiga ahli Parlimen PKR meninggalkan parti itu untuk menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan gabungan PN.

Mereka adalah Ahli Parlimen Julau Larry Sng, Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong dan Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar. – 17 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen