Perjelas pendirian berhubung Undi 18, kata kumpulan masyarakat sivil


Noel Achariam

Undi18 membolehkan warganegara Malaysia berumur 18 tahun keluar mengundi pada pilihan raya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2021.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu menyatakan pendirian sekiranya mereka berdepan masalah untuk melaksanakan Undi 18, undang-undang yang menyaksikan had umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun di Malaysia, kata Bersih 2.0. 

Pemerhati pilihan raya itu berkata ianya penting untuk kedua-dua entiti itu menjelaskan sama ada senarai pengundi sudah ada memandangkan Undi 18 diluluskan di Parlimen 19 bulan lalu. 

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata perlu ada penjelasan sekiranya JPN, yang bertanggungjawab ke atas pendaftaran warganegara, tidak boleh mengeluarkan senarai berkenaan dan SPR tidak boleh meneruskannya memandangkan rang undang-undang sudah diluluskan. 

“JPN dan SPR perlu jelaskan sekiranya dakwaan itu benar,” kata Fann. 

“Jika dakwaan itu betul, perlu ada siasatan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat pangkalan data JPN dan ahli SPR meletakkan jawatan kerana gagal melaksanakan pindaan perlembagaan berhubung hak mengundi. 

Usaha Putrajaya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur mengundi menjadi 18 tahun mendapat kejayaan yang luar biasa dengan sokongan sebulat suara dari blok pembangkang dan penyokong kerajaan.

RUU itu, yang turut merangkumi pendaftaran pemilih secara automatik dan membenarkan individu berusia 18 tahun untuk bertanding dalam pilihan raya mencipta sejarah bagi pentadbiran Pakatan Harapan (PH) ketika berkuasa kerana ia merupakan pindaan perlembagaan pertama yang berjaya mendapat sokongan dari kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun minggu lalu Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim berkata langkah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun tidak praktikal masa ini kerana ia akan mengambil terlalu banyak masa dan sumber.

Menurutnya ia akan mengambil mas auntuk mengenal pasti individu 18 tahun yang layak mengundi dan kawasan mengundi mereka.

“Berkenaan isu umur 18 tahun untuk mengundi, sama ada boleh dilaksanakan sekarang atau tidak, jawapannya tidak. Walaupun ia diluluskan di peringkat Dewan Rakyat tetapi daripada kesediaan masih ada banyak kekangan.

“Selepas melihat situasi sebenar dari sudut Dewan Negara, ia tidak praktikal untuk dilaksanakan pada masa ini,” katanya.

Fann bagaimanapun berkata sekiranya dakwaan Rais salah, Bersoh 20 menggesa kerajaan Perikatan Nasional untuk menafikan dakwaan itu dan melaksanakan Undi 18, iaitu perkara yang mereka sendiri undi. 

“Gagal memberikan komitmen (untuk pelaksanaannya), semua pengundi harus menghukum kerajaan PN pada pilihan raya ke-15 kerana menafikan hak asasi orang muda untuk memilih.”

Perlu penjelasan berhubung Undi 18. 

Sementara itu pengasas bersama Undi18 Qyira Yusri berkata Putrajaya perlu menjelaskan pelaksanaan menurunkan umur mengundi dan sama ada pendaftaran pemilih secara automatik masih diteruskan hingga Julai, sebagaimana yang dijanjikan oleh pentadbiran. 

“Kami tidak setuju dengan Rais yang menyatakan ia dibuat secara tergea-gesa, kerana ia jelas mendapat sokongan setiap ahli Parlimen termasuk Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

“Tiada sebab untuk menangguhnya. Apa yang lebih penting, ini menimbulkan persoalan sama ada kenyataan Rais mewakili kerajaan atau tidak.”

Tambahnya kadar pengangguran belia di Malaysia direkodkan 13.2% pada Disember 2020, yang tertinggi pernah direkodkan. 

“Belia Malaysia berkat mendaoat hak untuk memilih kerajaan mereka, ini termasuk 7.8 juta pengundi baharu yang haknya akan dilindungi selepas RUU Undi18 diwartakan.”

Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata pelaksanaan Undi 18 adalah di bawah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya. 

Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu berkata sebarang perkembangan berhubung perkara itu perlu datang daripada SPR dan menambah ia adalah badan bebas dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perkara itu. – 16 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen