POLIS mengesahkan seorang inspektor yang tidak bertugas dari stesen lain ada ketika pergaduhan di Bangsar Jumaat lalu yang menyebabkan seorang mati.
Asisten Komisioner OCPD Brickfields Anuar Omar berkata, siasatan mendapati inspektor berusia 27 tahun yang ditempatkan di ibu pejabat polis Kuala Selangor telah pergi ke Bangsar bersama seorang rakannya untuk makan malam.
“Siasatan awal polis mengesahkan identiti inspektor sebagai orang yang sama yang dilihat dalam rakaman video.
“Inspektor itu mendedahkan beliau tidak membawa senjata api pada waktu kejadian kerana beliau tidak bertugas dan selepas waktu bekerja.
“Ketika beliau ingin melaporkan kejadian itu di Pusat Kawalan Kontinjen, beliau mendapati kereta peronda polis sudah ada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Klip video pegawai polis itu kelihatan tersengih ketika kejadian itu berlaku, sekali gus menjadi tular sehingga menyebabkan banyak pihak mempersoalkan polis.
Anuar berkata pegawai itu tidak bersenjata ketika itu memandangkan beliau tidak bertugas selain ingin melaporkan pergaduhan itu ke bilik operasi kontinjen polis.
Namun, katanya, sebak polis tiba dan inspektor itu berangkat pulang.
Seorang remaja maut dan seorang lagi cedera parah apabila dua kumpulan bergaduh berdekatan kawasan kejiranan Bangsar, Kuala Lumpur awal pagi semalam.
Anuar berkata beliau percaya motif serangan itu adalah balas dendam.
“Kami telah mengenal pasti lima suspek dan sedang mencari mereka sekarang. Kes disiasat kerana membunuh dan menyebabkan kecederaan, di bawah Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Video pergaduhan itu tular, menunjukkan seorang remaja tidak memakai baju diserang oleh sekumpulan lelaki, dan cuba mempertahankan dirinya dengan helmet. Satu lagi rakaman menunjukkan seorang individu cuba membantu seorang remaja yang cedera.
Katanya, kejadian itu berlaku tepat selepas tengah malam di jalan belakang Jalan Telawi 3, tidak jauh dari pusat beli-belah Bangsar Village, setelah lelaki yang mati itu keluar dari sebuah pub.
Mangsa ditikam dan lehernya dikelar dalam pergaduhan di luar sebuah pub di Jalan Telawi, Bangsar. – 14 Mac, 2021.
Komen