Perkahwinan kanak-kanak meningkat kerana wabak, kata agensi Unicef


Raevathi Supramaniam

Pandemik Covid-19 menyebabkan banyak sekolah ditutup dan turut memberi kesan buruk kepada ekonomi hingga menyebabkan kemiskinan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2021.

PENUTUPAN sekolah, tekanan ekonomi, gangguan perkhidmatan, kehamilan dan kematian ibu bapa akibat pandemik Covid-19 menyumbang kepada peningkatan perkahwinan kanak-kanak di peringkat global dan juga Malaysia, kata Sarah Norton-Staal, ketua Perlindungan Kanak-kanak di Unicef ​​Malaysia.

Semua faktor penyumbang meletakkan remaja ini kepada peningkatan risiko perkahwinan kanak-kanak, trend yang sebelum ini menurun, katanya pada sidang media selepas pelancaran laporannya.

Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, Unicef berkata peratusan wanita muda di seluruh dunia yang berkahwin dalam usia kanak-kanak menurun sebanyak 15%, satu daripada empat menjadi satu daripada lima.

“Tidak ramai kanak-kanak yang bersekolah sejak awal wabak dan peningkatan kemiskinan adalah dua faktor utama perkahwinan kanak-kanak meningkat secara global,” kata Norton-Staal.

“Faktor penyumbang lain, juga berkait dengan kemiskinan, adalah tekanan oleh ibu bapa untuk mengahwinkan anak kerana tidak lagi mampu menjaga mereka.”

Laporan, “Unicef Advocacy Brief: Towards ending child marriage in Malaysia” yang diterbitkan hari ini menunjukkan 1,856 kanak-kanak di Malaysia berkahwin pada 2018, dengan anggaran 8 daripada 10 melibatkan orang Islam.

Sebelum wabak Covid-19, Norton-Staal berkata trend global menunjukkan penurunan perkahwinan kanak, tetapi ia tidak mencerminkan keadaan di Malaysia atau di Asia Tenggara.

“Data menunjukkan terdapat penurunan dalam perkahwinan kanak-kanak di bahagian lain di dunia, tetapi Asia Tenggara dan Malaysia bertentangan dengan trend global dan menunjukkan peningkatan,” katanya.

Bagaimanapun tiada data mencukupi bagi membuktikan data sahih kerana kebanyakan perkahwinan kanak-kanak berlaku melalui penyatuan tidak formal, beliau berkata ini disokong oleh peningkatan kehamilan remaja di wilayah ini.

Laporan itu juga menunjukkan 83% perkahwinan kanak-kanak pada 2018 melibatkan orang Islam sementara 17% bukan Islam.

Menangani isu ini, Lee Lyn-Ni, pakar perlindungan kanak-kanak di Unicef ​​Malaysia berkata jumlah perkahwinan kanak-kanak yang tinggi di kalangan orang Islam disebabkan oleh undang-undang yang ada.

Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976 membenarkan perkahwinan di kalangan orang bukan Islam pada usia minimum untuk perkahwinan ialah 18 tahun.

Bagi orang Islam, mahkamah menetapkan umur minimum 18 untuk lelaki dan 16 tahun untuk perempuan. 

Bagaimanapun, mereka yang berusia di bawah umur boleh meminta izin untuk berkahwin daripada Mahkamah Syariah. Inilah punca mengapa jumlahnya lebih tinggi berbanding orang bukan Islam.

Bagi bukan Islam, undang-undang juga mewajibkan bagi mana-mana pihak yang belum mencapai usia 21 tahun untuk meminta izin berkahwin daripada ibu bapa. – 9 Mac, 2021. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen