SERAMAI 1,856 kanak-kanak di Malaysia sudah berkahwin pada tahun 2018 di mana kira-kira lapan daripada 10 orang melibatkan mereka yang beragama Islam, menurut laporan Unicef.
Walaupun angka ini menurun berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan 2,107 perkahwinan melibatkan kanak-kanak, laporan itu menambah bahawa sekurang-kurangnya 1,500 kanak-kanak berkahwin setiap tahun di Malaysia.
Laporan bertajuk “Unicef Advocacy Brief: Towards ending chil marriage in Malaysia” juga mengatakan 83% perkahwinan kanak-kanak yang berlaku pada tahun 2018 melibatkan orang Islam sementara 17% adalah bukan Islam.
Dari 1,856 kanak-kanak yang berkahwin, 1,372 adalah kanak-kanak perempuan beragama Islam sementara kanak-kanak lelaki beragama Islam seramai 170.
Pecahan etnik 1,372 kanak-kanak perempuan adalah Bumiputera (1,314), Cina (5), India (3) dan lain-lain (50).
Bagi 170 kanak-kanak lelaki beragama Islam, mereka terdiri daripada Bumiputera (166), Cina (2) dan lain-lain (2).
Laporan itu juga mengatakan bahawa sejumlah 293 gadis bukan Islam sudah berkahiwn pada tahun 2018 – Bumiputera (174), Cina (92), India (17) dan lain-lain (10), sementara untuk 21 kanak-kanak lelaki bukan Islam, pecahan mereka adalah Bumiputera (20) dan Cina (1).
Secara keseluruhan, Bumiputera melaporkan jumlah perkahwinan kanak-kanak paling tinggi dengan 1,674 (90.19%) sementara kanak-kanak India paling sedikit dengan 20 perkahwinan (1.08%).
Di Malaysia, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 yang mengatur perkahwinan dalam kalangan orang bukan Islam, menetapkan usia minimum untuk perkahwinan ialah 18 tahun.
Kanak-kanak perempuan bagaimanapun boleh berkahwin pada pada usia 16 tahun selepas mendapat lesen daripada ketua menteri negeri mereka. Mereka yang berusia di bawah 16 tahun tidak dibenarkan berkahwin.
Undang-undang ini juga mewajibkan bagi salah satu pihak yang belum mencapai usia 21 tahun untuk meminta kebenaran berkahwin daripada ibu bapa mereka.
Perkahwinan dalam kalangan orang Islam dikawal oleh undang-undang syariah. Undang-Undang Keluarga Islam menetapkan usia minimum 18 untuk lelaki dan 16 untuk kanak-kanak perempuan.
Tetapi mereka yang berusia di bawah umur boleh meminta izin untuk berkahwin dari Mahkamah Syariah.
Angka dari Jabatan Kehakiman Syariah dari tahun 2008 hingga Jun 2018 menunjukkan bahawa terdapat 11,424 permohonan perkahwinan kanak-kanak Islam.
Jabatan Pendaftaran Negara merekodkan 5,409 perkahwinan kanak-kanak bukan Islam antara 2008 dan 2018. Dalam tempoh sama, Majlis Adat dan Adat Anak Negeri Sarawak mencatatkan 5,000 perkahwinan kanak-kanak.
Pada 20 Oktober 2019, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan arahan kepada semua kerajaan negeri untuk menaikkan usia perkahwinan yang sah kepada 18 bagi orang Islam dan bukan Islam.
Ia dilakukan susulan pendedahan yang dibuat menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat ketika itu Hannah Yeoh bahawa 14,999 perkahwinan kanak-kanak direkodkan antara tahun 2007 dan 2017 di mana 10,000 adalah melibatkan kanak-kanak beragama Islam.
Malaysia menandatangi Konvesyen PBB mengenai Hak Kanak-Kanak dan konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita.
Konvensyen itu juga berkomitmen untuk mencapai Pembangunan Berkesinambungan 5 yang bertujuan mencapai kesamaan jantina dan memberi kuasa kepada semua wanita dan kanak-kanak perempuan termasuk menghapuskan budaya buruk seperti perkahwinan kanak-kanak, awal dan paksa. – 9 Mac, 2021.
Komen