Anwar fail kes mahu kembalikan perkenan Agong


Nabihah Hamid

Ketua Umum Pakatan Harapan Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi membatalkan tiga akta yang diluluskan tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 2 Januari, 2018.

KETUA Umum Pakatan Harapan Anwar Ibrahim mahu membatalkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat semasa pentabdiran Dr Mahathir Mohamad yang memansuhkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam meluluskan rang undang-undang.

Anwar adalah timbalan kepada Dr Mahathir ketika peruntukan itu dimansuhkan.

Peguam N. Surendran menjelaskan, permohonan itu bertujuan untuk membatalkan peruntukan dalam tiga akta yang menyebabkan kuasa Agong dinafikan sejak 1993 selepas pindaan Perkara 66 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Tiga peruntukan tersebut adalah Seksyen 12 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983 (Akta A566), Seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984 (Akta A584) dan Seksyen 8 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994 (Akta A885), katanya.

“Apa yang dibuat oleh Anwar Ibrahim ialah membawa satu cabaran secara langsung kepada Mahkamah Persekutuan terhadap kesemua akta yang telah meminda Perlembagaan.

“Jika beliau berjaya dalam permohonan ini maka kuasa mandatori Yang di-Pertuan Agong untuk memberi perkenanan akan dikembalikan,” katanya kepada pemberita selepas memfailkan permohonan itu di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Katanya, pindaan ke atas Fasal 66 (4) Perlembagaan Persekutuan itu menyebabkan sesuatu rang undang-undang diluluskan secara automatik walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak memberi perkenan dalam tempoh 30 hari.

Permohonan tersebut merupakan langkah terbaru oleh Pakatan Harapan untuk membatalkan akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memberi kuasa meluas kepada kerajaan kuasa untuk menangani isu keselamatan negara.

Akta MKN diluluskan di Parlimen pada Disember 2015 dan diwartakan menjadi undang-undang pada Jun tahun berikutnya secara automatik.

Mengulas perkara itu, Presiden Pakatan Harapan Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata permohonan pembatalan perlu dibuat kerana ia menyalahi institusi Perlembagaan.

Presiden Pakatan Harapan Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) berkata permohonan pembatalan perlu dibuat kerana ia menyalahi institusi perlembagaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nabihah Hamid, 2 Januari, 2018.

“Ini tindakan yang penting untuk kita mansuhkan akta MKN kerana apa yang dibuat tanpa perkenan Yang dipertuan Agong telah dijadikan satu undang-undang.

“Jadi ini adalah satu yang menyalahi Perlembagaan negara kita. Ini adalah satu usaha untuk mengembalikan hak asas untuk mempertahankan demokrasi berperlembagaan dan hak asas rakyat,” katanya yang juga isteri Anwar.

Usaha Pakatan untuk membatalkan Akta MKN djalankan sejak 2016 melalui satu permohonan yang difailkan Anwar. Permohonan itu ditolak Mahkamah Rayuan pada November tahun lalu.

Susulan itu, Dr Mahathir memohon maaf kerana pindaan yang dibuat pada 1993 itu menyebabkan undang-undang seperti Akta MKN diluluskan secara automatik.

“Saya ingin memohon maaf atas pindaan kepada perlembagaan itu, yang membuat kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi perlu untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang.

“Ia kelihatan (oleh) kerana pindaan itu, (Akta Majlis) Keselamatan Negara yang baru, telah mula berkuatkuasa, walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak menandatanganinya,” tulis Mahathir dalam blognya.

Pada 19 September 2016, Dr Mahathir Mohamad bersama Anwar mengeluarkan kenyataan bersama menolak pelaksanaan Akta MKN.

Kenyataan empat perenggan ditandatangani secara bersama oleh Anwar dan Dr Mahathir itu antara lain menegaskan bahawa akta itu mengancam sistem demokrasi dalam negara.

“Akta ini telah mengenepikan secara langsung kuasa secara langsung kuasa serta peranan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam isu kepentingan keselamatan dan kebebasan rakyat negara ini,” kenyataan itu dipetik. – 2 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen