Anwar gagal cabar Akta Majlis Keselamatan  Negara


Mahkamah menolak kes itu kerana merasakan permohonan Anwar untuk mempersoal kecekapan Parlimen, yang tidak dipertikai adalah tidak sah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2017.

MAHKAMAH Rayuan hari ini sebulat suara menolak tuntutan Anwar Ibrahim untuk mengisytiharkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 tidak mengikut perlembagaan.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar berkata mahkamah menolak kes itu kerana merasakan permohonan Anwar untuk mempersoal kecekapan Parlimen, yang tidak dipertikai adalah tidak sah.

“Kami bukan bercakap tentang hak Parlimen menggubal akta… kami mengatakan dengan berbuat demikian, iaitu meluluskan undang-undang, Parlimen menentang struktur asas Perlembagaan.

“Itu bezanya. Jadi, Kami akan bawa ke Mahkamah Persekutuan,” katanya di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Latheefa berkata perkara itu belum berakhir kerana ia akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

“Kami ada sebulan untuk melakukan perkara ini. Kami akan memohon kebenaran untuk mencabar rayuan.

“Sebelum ini, terdapat kos sebanyak RM3,000 tetapi kami tak minta sebarang kos kerana kami lihat perkara ini sebagai kepentingan awam.”

Dalam menyampaikan penghakimannya, Hakim Rohana Yusuf berkata mengenai permohonan kes itu, para hakim bersetuju bahawa pada dasarnya ia mempersoalkan kecekapan badan perundangan Parlimen dalam menggubal pindaan tersebut.

Anggota panel lain terdiri daripada Ahmadi Asnawi dan Dr Badariah Suhamid. Manakala peguam-peguam kanan Amarjeet Singh dan Suzana Atan bertindak sebagai responden.

Anwar memfailkan saman itu pada 2016 bagi mendapatkan injunksi menghalang MKN menggunakan kuasanya di bawah akta itu.

Beliau juga memohon Perkara 66(4) perlembagaan Persekutuan diisytiharkan tidak mengikut perlembagaan.

Latheefa berkata di dalam perlembagaan asal, Perkara 66(4) memastikan bahawa susuatu undang-undang hanya boleh diluluskan dengan persetujuan diRaja, tetapi selepas pindaan pada 1983, 1984 dan 1994, semak dan imbang yang diberikan kepada raja-raja telah dikurangkan.

Beliau berkata pindaan kepada Perkara 66(4) secara asanya diubah daripada cara ia dibaca.

Perkara 66(4) dan (4A) kini membenarkan rag undang-undang menjadi undang-undang 30 hari selepas ia diluluskan, walaupun tanpa persetujuan diRaja. Ia akan berkuatkuasa sebaik sahaja diwartakan.

Akta MKN tidak menerima persetujuan diRaja dan diwartakan tanpa pindaan, walaupun Persidangan Raja-raja menyebut ia mahu memperhalusi beberapa peruntukan. – 6 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen