PKPD di kuarters Sri Jelutung Pahang bermula esok 


Aminah Farid

KUARTERS pekerja ladang Sri Jelutung di Chini, Pahang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula esok sehingga 19 Mac, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata setakat 3 Mac, 30 kes positif Covid-19 direkodkan dalam kawasan kuarters berkenaan.

“Selepas menjalankan penilaian risiko dan atas nasihat Kementerian Kesihatan, kerajaan bersetuju untuk memperketatkan PKP bagi kuarters Sri Jelutung,” katanya.

Menurutnya PKPD membolehkan pihak berkuasa menjalankan ujian saringan Covid-19 bersasar ke atas penghuni kuarters berkenaan dan juga ujian saringan kontak rapat.

Sementara itu Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di taman-taman perumahan di sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang tamat esok.

Katanya sehingga kini pihak berkuasa kesihatan menjalankan 1,573 ujian saringan dan hanya 94 penduduk positif. – 5 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen