PKPD di sekolah Henry Gurney Melaka, 2 rumah sewa di Sarawak


Aminah Farid

Memandangkan kadar jangkitan tinggi, pihak Majlis Keselamatan Negara dengan nasihat dari Kementerian Kesihatan telah memutuskan lokasi itu dikenakan PKPD, kata Ismail Sabri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2021.

RUMAH Sewa Anung dan Rumah Sewa Beverly Hills di Bintulu serta Sekolah Henry Gurney di Telok Mas, Melaka diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula minggu ini, kata Ismail Sabri Yaakob.

PKPD di dua Rumah Sewa di Bintulu itu akan bermula esok hingga 18 Mac manakala sekolah Henry Gurney akan dikenakan PKPD bermula Sabtu hingga 19 Mac, katanya.

Ismail berkata Kementerian Kesihatan telah membuat 1,147 ujian saringan Covid-19 di komuniti Rumah Sewa di mana 84 didapati positif Covid-19.

“Memandangkan kadar jangkitan tinggi, pihak Majlis Keselamatan Negara dengan nasihat dari Kementerian Kesihatan telah memutuskan lokasi itu dikenakan PKPD,” katanya.

Sementara itu, katanya, sejak 3 Mac, sekolah Henry Gurney melaporkan 152 kes positif di mana lapan staf dijangkiti bersama dengan 139 pelajar dan ahli keluarga juga turut dijangkiti virus itu.

Semalam Malaysia mencatatkan 1,745 kes baharu Covid-19 dengan 2,276 ke spulih dalam tempoh 24 jam.

Setakat ini kes pulih berjumlah 280,707 berbanding jumlah keseluruhan kes 305,880.

Tujuh kematian dilaporkan menjadikan jumlah kematian setakat ini 1,148. – 4 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen