PAKATAN Harapan hari ini menolak alasan yang diberikan oleh menteri Perikatan Nasional mengapa Parlimen tidak boleh bersidang dalam tempoh perintah darurat.
Majlis setiausahanya menyifatkan alasan yang diberikan menteri undang-undang Takiyuddin Hassan iaitu ramai ahli Parlimen yang berisiko tinggi dan tiada undang-undang yang perlu diluluskan ketika tempoh darurat adalah lemah dan dangkal.
Majlis berkenaan dalam satu kenyataan berkata kenyataan itu menunjukkan Perikatan Nasional tidak menghormati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyatakan Parlimen boleh bersidang sewaktu darurat.
“Kesemua alasan yang diberi adalah lemah dan dangkal dan tidak menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda pada 24 Februari lalu yang menyatakan Parlimen boleh bersidang sewaktu darurat berkuatkuasa,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung Amanah Dr Hatta Mohd Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke.
Mereka berkata tiada sebab untuk Parlimen tidak bersidang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat dan diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Ketika lebih banyak sektor ekonomi dibenar beroperasi, dan pada ketika pihak Eksekutif serta Kehakiman boleh berfungsi, tiada alasan lagi untuk Parlimen tidak bersidang sesegera mungkin.
“Jemaah menteri perlu menjunjung kasih di atas titah nasihat Seri Paduka Baginda serta menasihatu Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen segera,” kata mereka.
Takiyuddin hari ini berkata Kabinet sudah memaklumkan kepada Agong bahawa tidak akan ada persidangan buat masa ini.
Merujuk kepada dakwaan Takiyuddin bahawa sebahagia besar ahli Parlimen adalah warga emas yang dianggap sebagai kes Covid-19 berisiko tinggi, majlis itu berkata mereka bleh bersidang selama 55 hari di Parlimen tanpa sebarang risiko jangkitan tahun lalu.
Ini kerana tiada seorang pun ahli Parlimen menerima vaksin ketika itu. Pematuhan SOP memastikan persidangan Parlimen berjalan lancar.
“Sepanjang 55 hari bersidang pada tahun 2020, tiada seorang ahli Parlimen pun menjangkiti Covid-19 di Parlimen itu sendiri dan tiada satu pun kluster Covid-19 yang dibuktikan terhasil akibat persidangan Parlimen.
“Perlu diingatkan bahawa pada waktu itu belum seorang ahli Parlimen pun yang menerima vaksin.
“Malah fakta ini membuktikan bahawa langkah-langkah dan SOP yang diambil bagi perjalanan sidang Parlimen pada 2020 berkesan. Parlimen boleh bersidang sekarang tanpa lengah,” tambah kenyataan itu. – 3 Mac, 2021.
Komen