9 kluster baharu Covid-19 berkait tempat kerja dikesan


Aminah Farid

Jumlah terbaru itu menjadikan kluster aktif ketika ini mencatat angka 491, selain tiga kluster diumumkan telah berakhir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2021.

PIHAK berkuasa kesihatan merekodkan sembilan kluster baharu Covid-19 berkaitan kawasan tempat kerja hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah terbaru itu menjadikan kluster aktif ketika ini mencatat angka 491, selain tiga kluster diumumkan telah berakhir.

Tiga kluster tersebut adalah Kluster Jalan Rami Tiga, Lingkaran Maluri, dan  Sri Plentong.

Empat daripada kluster baharu dikesan di Johor dan menyumbang 77 jangkitan hari ini.

Kluster yang dicatat di Johor itu termasuk Kluster Jalan Timah Tiga (31), Jalan Tanjung Empat (28), Jalan Desa Tropika (10) dan Batu Empat (8), kesemua kluster tersebut melibatkan kawasan kilang.

Sementara itu, Selangor mencatatkan tiga kluster baharu berkaitan kilang dengan masing-masing di Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Kuala Selangor.

Kluster Syarikat Jalan Bukit (262), Industri Waja (248), dan Jalan Selisik (17) pula mencatatkan lebih dari 324 kes secara keseluruhan.

Kuala Lumpur mencatat kluster baharu di Kepong di sebuah tapak pembinaan yang terletak di Jalan Bukit 1. Kluster ini dikesan melalui saringan bersasar di lokasi tersebut, dan 181 individu didapati positif.

Di Pulau Pinang, Jalan Sungai Baong yang juga merupakan kluster kilang dikesan di Seberang Prai, dan setakat ini mempunyai 40 kes.

Kluster ini terletak di Kawasan Perindustrian Perabot, di selatan Seberang Perai. – 28 Februari, 2021.

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen