E-mel terus kes potong giliran vaksin, kata Khairy


"Kami pandang serius setiap pendedahan. Ekuiti vaksin sangat penting," kata Khairy. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2021.

PEKERJA kesihatan yang tahu ada “VVIP” tidak terpilih memotong giliran barisan hadapan untuk vaksinasi Covid-19 boleh mengirim e-mel terus kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras program imunisasi Covid-19 kebangsaan itu berkata beliau memandang serius dakwaan potong giliran dan telah memberitahu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengenai perkara itu.

“Pemberi maklumat boleh boleh hantar emel secara anonymous terus kepada saya [email protected] dan saya akan siasat,” katanya di Twitter hari ini.

“Pasukan saya telah memantau komen pemberi maklumat di media sosial mengenai potong giliran vaksin. Saya terus kongsikan kepada Dato’ Dr Chong (timbalan ketua pengarah) yang bersama saya dalam pasukan petugas untuk siasat.

“Kami pandang serius setiap pendedahan. Ekuiti vaksin sangat penting,” kata Khairy dalam tweet lain.

Tuduhan ahli politik potong giliran untuk menerima vaksin di bawah fasa pertama sedangkan ianya untuk barisan hadapan telah disuarakan di media sosial.

Veteran DAP Lim Kit Siang awal hari ini menggesa Putrajaya mengambil perhatian dan menangani perkara itu.

Antara yang mendedahkan perkara itu adalah pengguna Twitter bernama Rafidah Abdullah, yang juga doktor kesihatan awam.

Khairy menandanya di salah satu tweetnya hari ini selain mengucapkan terima kasih kerana telah membangkitkan masalah ini dan menekankan bahawa beliau memandang serius perkara itu.

Beliau turut menjelaskan sementara wakil rakyat terpilih dimasukkan sebagai barisan hadapan untuk terima vaksin di bawah fasa pertama, tuduhan itu turut melibatkan “VVIP” yang tidak terpilih.

“Cuma sekarang ini ‘VVIP’ bukan wakil rakyat pun nak masuk senarai. Tak boleh. Dan untuk wakil rakyat, saya juga minta ambil secara berperingkat. 

“Ada negeri bagi semua Exco sekali jalan. Tak bagus,” kata Khairy. – 28 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen