Putrajaya perlu halang ahli politik potong giliran ambil vaksin, kata Kit Siang 


Pemberian vaksin perlu diberikan kepada petugas barisan hadapan terlebih dahlu bagi memastikan proses vaksinasi boleh diteruskan ke seluruh negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2021.

PUTRAJAYA perlu mengamalkan “ekuiti vaksin” yang mana keutamaan kini adalah untuk mengimunisasi petugas kesihatan sebelum vaksin Covid-19 diedarkan kepada seluruh penduduk, kata pemimpin DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan di media sosial bahawa golongan VIP dan ahli keluarga mereka mahukan vaksinasi awal sebelum petugas barisan hadapan.

“Kerajaan perlu menghormati seoenuhnya konsep ekuiti vaksin yang mana keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan bagi memastikan kejayaan program  vaksinasi Covid-19 di Malaysia.

“Gesaan ini adalah intipati daripada kempen Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk ekuiti vaksin,” katanya.

Kempen ekuiti vaksin WHO menyatakan bahawa vaksinasi ke atas petugas kesihatan dan warga emas mesti didahulukan sebelum penduduk yang lain.

Lebih 236 juta dos vaksin Covid-19 diedarkan di seluruh dunia, dan Malaysia telah memulakan satu daripada tiga fasa program imunisasi awal minggu ini untuk memvaksin sekurang-kurangnya 80% penduduk.

Petugas barisan hadapan khususnya petugas kesihatan akan disuntik pada fasa pertama, namun timbul dakwaan bahawa terdapat ahli politik dan ahli keluarga serta saudara mara yang cuba mendapatkannya terlebih dahulu.

Menteri kabinet dan ahli Parlimen memang akan menerima vaksin pada fasa pertama, dengan perdana menteri menjadi individu pertama di negara ini untuk disuntik pada pelancaran program itu Rabu lalu.

Namun menurut seorang doktor perubatan awam bernama Rafidah Abdullah, terdapat ahli politik seperti exco, Adun dan “kuncu-kuncu” mereka mahukan vaksinasi awal.

“Biarkan kami, petugas kesihatan, selesaikan vaksinasi kami dahulu,” tulisnya di Twitter semalam.

Dalam pada itu Lim berkata kerajaan perlu mendengar suara petugas kesihatan dan menyelesaikan masalah ini.

“Penting untuk kerajaan mendengar aduan berhubung vaksin yang disuarakan petugas barisan hadapan Malaysia, terutamanya oleh Dr Rafidah Abdullah di Twitter,” kata Lim.

Menurutnya masalah ini adalah satu ketidakadilan kepada mereka yang dinafikan atau negara yang lebih miskin yang belum mempunyai akses kepada vaksin. – 28 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen