Jumlah kes keseluruhan Covid-19 lepasi angka 300,000 


Aminah Farid

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes sejak wabak itu bermula adalah 300,752. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2021.

MALAYSIA mencatat angka kes keseluruhan Covid-19 melebihi 300,000 hari ini selepas merekodkan 2,437 jangkitan baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes sejak wabak itu bermula adalah 300,752.

Walau bagaimanapun, kes baharu hari ini kurang dari kes sembuh sebanyak 3,251, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada Covid-19 adalah 273,417.

Sembilan kematian baharu turut dilaporkan hari ini, menjadikan angka kematian keseluruhan sebanyak 1,130.

Angka terbaru itu menunjukkan bahawa Malaysia mencatat 100,000 kes masing-masing pada bulan Januari dan Februari sahaja, berbeza dengan jumlah yang sama yang dikesan sepanjang tempoh tahun lalu.

Setakat ini, terdapat 24,505 kes aktif, sementara 202 pesakit berada di unit rawatan rapi, dengan 93 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berhubung sembilan kematian yang dicatatkan, Dr Noor Hisham berkata bahawa kesemua kes itu direkodkan di beberapa negeri iaitu Selangor (3), Sarawak (2), Melaka (1), Kelantan (1), Perak (1) dan Johor (1).

Kematian wanita berusia 102 tahun di Johor adalah pesakit tertua dan sejarah kesihatannya tidak diketahui.

Kes kematian yang lain melibatkan pesakit berusia di antara 57 dan 88 tahun, dan kesemua mereka mempunyai sejarah penyakit kronik.

Jumlah kes mengikut negeri menyaksikan Selangor terus melaporkan jumlah kes harian tertinggi, dengan 914 kes hari ini, diikuti Johor (340) dan Kuala Lumpur (337).

Labuan dan Putrajaya mencatatkan satu digit baharu dengan masing-masing dua dan tiga kes.

Perlis adalah satu-satunya negeri yang tidak melaporkan jangkitan baharu. – 28 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen