Arab Saudi 'tolak' laporan kes bunuh Khashoggi oleh AS


Jamal Khashoggi dibunuh di pejabat konsulat Arab Saudi di Instabul pada Oktober 2018, mencetuskan kecaman antarabangsa. – Gambar AFP, 27 Februari, 2021.

ARAB Saudi semalam berkata “menolak sepenuhnya” laporan Amerika Syarikat (AS) yang mendapati Putera Mahkota Mohammed bin Salman membenarkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018.

“Pemerintah kerajaan Arab Saudi sepenuhnya menolak penilaian negatif, palsu dan tidak boleh diterima dalam laporan berkaitan dengan kepemimpinan kerajaan itu, dan memaklumkan laporan tersebut berisi maklumat dan kesimpulan tidak tepat,” kata kementerian luar negeri Arab Saudi dalam satu kenyataan.

Menurut laporan yang dikeluarkan semalam oleh pentadbiran Presiden Joe Biden, perisik AS menyimpulkan putera itu “meluluskan operasi di Istanbul, Turki untuk menangkap atau membunuh” Khashoggi.

Arab Saudi sebelum ini menyifatkan pembunuhan itu sebagai operasi penyangak dengan tegas menafikan putera mahkota terlibat.

“Malangnya laporan dikeluarkan tidak tepat ketika kerajaan dengan jelas mengecam kejahatan keji ini, dan kepemimpinan kerajaan mengambil langkah diperlukan untuk memastikan tragedi seperti itu tidak berlaku lagi,” kementerian itu kata.

“Kerajaan menolak segala tindakan yang melanggar kepemimpinan, kedaulatan, dan kebebasan sistem kehakimannya,” tambah kementerian itu.

Khashoggi, pengkritik tegar Mohammed, diperdaya ke konsulat Arab Saudi di Istanbul pada Oktober 2018 dan dibunuh oleh skuad Arab Saudi.

Laporan AS berkata memandangkan pengaruh Mohammed, “sangat tidak mungkin” pembunuhan itu boleh berlaku tanpa persetujuannya.

Selepas laporan keluar, Menteri Luar Negeri AS Antony Blinken berkata Washington ingin “mengatur semula” tetapi “tidak menjejaskan” hubungannya dengan Riyadh, rakan sekutu lama di Timur Tengah.

Meskipun marah terhadap laporan itu, Arab Saudi juga menegaskan ia ingin menjaga hubungan itu. – AFP, 27 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen