Bukan semua 112 pegawai buru Sajat, kata Jais


Diyana Ibrahim

Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman gagal menghadiri perbicaraan pada Selasa lalu bagi tuduhan berhubung kesalahan berpakaian wanita. – Gambar Facebook, 26 Februari, 2021.

BUKAN semua 112 pegawai dikerah memburu usahawan kosmetik Nur Sajat yang gagal hadir ke satu prosiding Mahkamah Syariah, jelas seorang jurucakap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pegawai itu berkata demikian bagi menjelaskan laporan memetik kenyataan ketua pengarahnya Mohd Shahzihan mengenai jumlah anggota yang didakwa dikerah menangkap usahawan itu.

Pegawai itu memberitahu The Malaysian Insight, Mohd Shahzihan sebenarnya menyebut Jais mempunyai 112 orang pegawai apabila ditanya mengenai kekuatan penguatkuasaan tersebut.

Namun laporan semalam menyebut kesemua 112 orang itu dikerah memburu Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, jelas pegawai itu yang enggan nama disiarkan.

“Jais tak kerah 112 anggotanya untuk cari dan tangkap Muhammad Sajjad.

“112 yang disebut ketua pengarah merujuk kepada berapa ramai jumlah anggota penguatkuasa Jais yang kita ada dan mereka ini boleh mencari dan menangkap Muhammad Sajjad.

“Tapi kita bukan mengerahkan semua 112 anggota itu untuk turun tangkap Muhammad Sajjat. Jadi ada salah faham bila disebut jumlah pegawai kita,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan portal Malaysia Gazette yang menyiarkan laporan itu.

Ia memetik kenyataan Shahzihan mengenai tindakan Jais selepas jabatan itu memperoleh waran daripada Mahkamah Tinggi Syariah untuk menangkap usahawan tersebut.

Muhammad Sajjad atau gagal menghadiri perbicaraan pada Selasa lalu bagi tuduhan berhubung kesalahan berpakaian wanita.

Muhammad Sajjad pada 6 Januari dituduh berpakaian menyerupai wanita dalam satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada kira-kira jam 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.

Tuduhan bawah Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 itu memperuntukkan hukuman tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Laporan Utusan Malaysia menyebut Muhammad Sajjad tidak hadir atas faktor kesihatan dan menafikan beliau sengaja tidak hadir untuk prosiding pada Selasa

Usahawan itu mendakwa mempunyai surat doktor sebagai bukti tidak hadir pada sebutan semula kesnya di mahkamah. – 26 Februari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen