SYARIKAT milik usahawan kosmetik Nur Sajat hari ini didenda RM14,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas 17 pertuduhan memiliki dan menjual keluaran tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, dua tahun lepas.
Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd yang diwakili dua pengarahnya iaitu Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 35, dan Ashaari Maznan, 44, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dihadapi.
Hanie Dzatul Akhmar menjatuhkan hukuman denda RM12,000 bagi 12 pertuduhan manakala masing-masing RM500 bagi lima lagi pertuduhan terhadap syarikat itu yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) dalam kes berkenaan.
Mengikut 11 pertuduhan, OKS didakwa memiliki keluaran yang bukan keluaran berdaftar dan lima kesalahan memiliki kosmetik tidak bernotifikasi di pejabat syarikat berkenaan di Jalan Serai Wangi K16/K, Seksyen 16 pada 15 Ogos 2018 pada 11.40 pagi.
OKS juga didakwa dengan satu pertuduhan iaitu menjual keluaran yang bukan keluaran berdaftar kepada seorang wanita di lokasi dan tarikh yang sama kira-kira 11.35 pagi. – Bernama, 13 Oktober, 2020.
Komen