Hari-hari terakhir Ampang Park


Bagi ramai rakyat Malaysia, Ampang Park menyimpan banyak kenangan- kerjaya, cinta, keluarga dan masa muda. Hari ini adalah hari terakhir kompleks beli belah ikonik itu beroperasi sebelum dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Stesyen MRT Ampang Park. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Disember, 2017.

SUASANA sedih bercampur gembira dapat dilihat di Ampang Park pada hari terakhir operasinya, apabila orang ramai berpusu-pusu ke pusat membeli belah pertama di Malaysia.

Kompleks itu akan ditutup buat selamanya bagi memberi laluan kepada pembinaan stesyen Ampang Park MRT Jajaran 2.

Sejak pagi lagi, Ampang Park dikunjungi orang ramai dan jumlahnya semakin sesak pada sebelah petang apabila ramai pengunjung mahu mengabadikan kenangan terakhir di samping mengambil peluang membeli belah di jualan penghabisan stok dilakukan di kedai buat kali terakhir.

Selain mengimbau dan mengabadikan kenangan serta jualan murah habis stok, beberapa aktiviti lain juga dijalankan untuk memeriahkan hari terakhir pusat membeli belah ikonik negara itu.

Misalnya, KL Sketch Nation bersama Sketchwalk KL menganjurkan acara “sketchwalk” bagi mengabadikan Ampang Park dalam bentuk lukisan.

Hampir 30 orang berkumpul di hadapan Ampang Park sejak pukul 11 pagi dan mula melukis sehingga pukul 2 petang sebelum masing masing berkongsi kenangan di Ampang Park dalam satu sesi perkongsian bersama.

Pengasas dan juga Pengarah KL Sketch Nation Ahmad Hakym Ahmad Hilmy berkata sketchwalk bertemakan “One Last Sketch” itu bertujuan untuk merakam memori bersama Ampang Park sebelum ianya ditutup.

One last sketch ini bermaksud terakhir untuk tahun ini dan juga terakhir bagi Ampang Park. Setiap dua minggu, KL Sketch Nation akan berkumpul, duduk di jalan-jalan di Kuala Lumpur untuk melukis dan kebetulan hari ini adalah hari terakhir bagi tahun ini dan kami tidak pernah lagi buat di Ampang Park, jadi kami datang sini sebab lepas ni dah tak boleh nak buat dah,” katanya.

Salah satu acara yang dianjurkan oleh KL Sketch Nation yang mengabadikan Ampang Park pada hari terakhirnya sebelum dirobohkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Disember, 2017.

McDonald’s Ampang Park juga tidak ketinggalan mengenang kenangan hari terakhirnya beroperasi selepas 28 tahun di situ.

Pelbagai aktiviti dilakukan antaranya persembahan busker, lukisan muka dan sesi fotografi percuma bagi memberi peluang pengunjung mengabadikan kenangan mereka.

Pengarah Kanan Pemasaran, Komunikasi dan Penyelidikan McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata pada acara ini, ramai pekerja lama hadir bagi memeriahkan lagi acara dan mengimbau kenangan berkhidmat di restoran tersebut.

“Mereka kembali untuk berkongsi memori dan pengalaman mereka serta berjumpa kembali rakan-rakan lama mereka pada acara ini,’ katanya kepada pemberita.

Menurutnya, sebuah cawangan baru di The Intermark, berhampiran Ampang Park sudah dibuka.

McDonald’s baru itu menawarkan konsep moden dengan pelbagai teknologi baru yang inovatif termasuk kiosk layan diri, transaksi tanpa tunai, penyediaan WiFi berkelajuan tinggi dan kemudahan pengecas telefon bimbit, kata Melati lagi.

Antara bekas pekerja yang hadir berkongsi pengalaman ialah Phoon Yit Sang yang menjadi antara kakitangan terawal McDonald’s Ampang Park.

“Saya mempunyai banyak memori indah di sini tetapi saya ingin berkongsi beberapa kenangan manis.

“Pertama, saya adalah pengurus yang terawal di sini pada 28 tahun dahulu ketika ia dibuka. Kedua, saya telah dinaikkan pangkat menjadi pengurus stor ketika bekerja di sini dan pada masa yang sama mereka menghantar saya ke Hamburger University di AS untuk menjalani latihan. Ketiga, isteri saya melahirkan anak pertama kami ketika saya bekerja di Ampang Park,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh oleh pengunjung.

Katanya, semua memori itu akan kekal buat selamanya dan walaupun berasa sedih dengan penutupan Ampang Park yang sangat bersejarah, Phoon gembira dapat berjumpa kembali dengan rakan-rakan lamanya yang pernah berkhidmat bersama samanya dahulu.

McDonald's Ampang Park menganjurkan himpunan pekerja lamanya pada hari terakhir cawangan restoran makanan segera itu beroperasi selepas 28 tahun berada di situ, meraikan semangat pekerja, kerjaya dan kegemilangan rangkaian restoran makanan segera dikenali itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Disember, 2017.

Amidah Mislan yang bekerja di kaunter pertanyaan Ampang Park sejak 44 tahun lalu berkata dia amat sedih dengan penutupan Ampang Park kerana banyak kenangan dan memori yang dilaluinya sepanjang bekerja di situ.

“Saya mula bekerja di sini sejak usia saya 18 tahun. Waktu tu sekeliling ni semua hutan hijau, sekarang dah membangun, banyak bangunan tinggi. Dulu saya pergi kerja naik bas. Saya dah naik macam macam bas daripada van, bas mini, intrakota dan macam macam lagi.

Amidah juga berkata Ampang Park adalah tempat yang sangat istimewa baginya kerana dia berjumpa dengan suaminya, Mohamed Salji yang turut bekerja di situ.

“Saya start dulu daripada suami saya, lepas beberapa bulan baru dia masuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Masa tu kawasan sinilah jadi tempat dating kami. Belakang ni ada taman, situ lah kami dating,” kata ibu tiga orang anak itu.

Bagi Amidah Mislan, Ampang Park adalah rumah keduanya, tempat bekerja, menemui cinta dan menyaksikan perubahan pesat pembangunan Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Disember, 2017.

Amidah juga berkata dia menganggap Ampang Park sebagai rumah pertamanya, kerana sejak bekerja di situ dia sudah berpindah rumah sebanyak tiga kali tetapi hanya bekerja di Ampang Park sahaja sehingga kini.

Seorang pengunjung yang berasal dari Taiping, Rimanilzah mengambil peluang mengabadikan kenangan di pusat beli belah itu yang menjadi tempatnya meluangkan masa bersama rakan-rakannya satu ketika dahulu.

“Kebetulan saya ada urusan di KL so saya datang lawat tempat memori ini. Dulu lepas sekolah selalu lepak sini dengan kawan kawan, kira kawasan ni dulu paling top kat sini.

“Yang paling (menjadi) memori eskalator dia. Itulah eskalator pertama kat KL ni,” katanya sambil menambah kedai kegemarannya di Ampang Park ialah sebuah kedai cakera padat yang terletak di tingkat 2.

Ampang Park yang satu masa dahulu menjadi tumpuan rakyat Malaysia menikmati manis pembangunan kini akan menjadi tinggalan sejarah, kekal dalam kenangan mereka yang membesar bersamanya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Disember, 2017.

Menurutnya, walaupun banyak pusat membeli belah dibina yang lebih moden, Ampang Park tetap dapat menarik pengunjung dan tidak “mati”.

Terletak di persimpangan Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang, Ampang Park yang dibuka kepada orang awam sejak 1973 adalah kompleks membeli belah pertama di Malaysia.

Ia bergelut dengan tekanan pembangunan apabila tanahnya diambil alih untuk pembangunan Stesyen Ampang Park MRT Jajaran 2 yang akan dibina bawah tanah memerlukan kompleks beli belah itu dirobohkan.

Pada 8 Januari tahun lalu, 39 pemilik perniagaan dan penyewa di Ampang Park memfailkan tindakan undang-undang untuk membatalkan kelulusan bagi perobohan pusat beli-belah itu.

Walaupun begitu, rezeki tidak berpihak kepada mereka apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan pada 30 Jun tahun lalu dan sekali lagi ditolak pada 18 Januari 2017 menyebabkan kompleks beli belah yang menjadi tempat kenangan ramai rakyat Malaysia itu akan hanya tinggal dalam sejarah. – 31 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen