Perhalusi program imunisasi elak pembaziran, gesa pakar perubatan


Bernard Saw

Anggota perubatan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 untuk diberikan vaksin walaupun ada lagi anggota barisan depan dari sektor lain juga memerlukan perlindungan yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2021.

PAKAR kesihatan menggesa kerajaan agar tidak terlalu terikat untuk melaksanakan tiga fasa Program Imunisasi Kebangsaan terhadap kumpulan bersasar.

Mereka berkata kerajaan perlu lebih fleksibel untuk membenarkan golongan berisiko tinggi menerima suntikan awal bersama anggota barisan depan dalam fasa pertama bagi mengelakkan pembaziran vaksin.

Pengarah Pusat Pendidikan dan Kajian Berjangkit Tropika Universiti Malaya Dr Sazaly Abu Bakar berkata langkah mengutamakan kumpulan sasar walaupun dalam kalangan barisan depan, akan memastikan program vaksinisasi berjalan dengan berkesan dan cepat.

Beliau mencadangkan agar anggota perubatan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 untuk diberikan vaksin kerana ada lagi anggota barisan depan dari sektor lain juga memerlukan perlindungan yang sama.

“Adakah semua anggota barisan depan berdepan risiko yang sama atau hanya anggota tertentu paling terdedah?” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Mereka yang paling terdedah perlu menerima vaksin terlebih dahulu.”

Sazaly berkata Malaysia perlu belajar daripada kesilapan program imunisasi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang menyaksikan berlakunya pembaziran.

Para doktor di dua benua itu melaporkan jarum suntikan vaksin Pfizer-BioNTech hanya boleh digunakan untuk lima dos berbanding enam dos akibat berlakunya kebocoran semasa proses vaksinasi.

Jepun juga melaporkan kekurangan alat penyuntik yang sesuai untuk vaksin itu, sekali gus terpaksa mengehadkan jumlah penerima penawar itu.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sebelum ini mengumumkan bahawa kementerian akan menggunakan picagari low dead volume untuk mengelakkan pembaziran.

Menurut data daripada buku panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kerajaan mendapat 66.7 juta dos vaksin daripada lima pengeluar bagi 109.65% penduduk ”.

Putrajaya sebelum ini berkata ia memperoleh cukup vaksin untuk mengimunisasi 26.5 juta orang, atau sekitar 80% penduduk.

Data yang dikeluarkan oleh Mosti pada Disember menunjukkan dos yang diperoleh berjumlah 49.5 juta.

Bagaimanapun Sazalu berkata program ini perlu dirancang dengan lebih teliti.

Katanya kerajaan perlu mempunyai senarai simpanan sukarelawan dan penerima sedia ada berbanding mencari mereka jika penerima asal tidak datang.

“Ini pentingnya untuk mengenalpasti sasaran penerima dan dirancang dengan baik,” katanya. – 21 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen