Vaksin cukup untuk seluruh rakyat termasuk warga asing, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata penambahan dos vaksin yang dibuat mampu menampung keseluruhan 32.7 juta penduduk Malaysia. – Gambar EPA, 19 Februari, 2021.

PUTRAJAYA berjaya mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi untuk seluruh rakyat Malaysia termasuk bukan warganegara, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

“Ya, Menteri Teknologi dan Inovasi Sains (Khairy Jamaluddin) sudah berunding untuk (memperoleh vaksin) yang mencukupi sehingga 109.65% (daripada jumlah penduduk). Jadi, ada cukup bekalan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Adham menjawab pertanyaan The Malaysian Insight mengenai apakah penambahan dos yang diperoleh mencukupi bagi keseluruhan populasi 32.7 juta.

Menurut data daripada buku panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kerajaan mendapat 66.7 juta dos vaksin daripada lima pengeluar bagi 109.65% penduduk ”.

Putrajaya sebelum ini berkata ia memperoleh cukup vaksin untuk mengimunisasi 26.5 juta orang, atau sekitar 80% penduduk.

Data yang dikeluarkan oleh Mosti pada Disember menunjukkan dos yang diperoleh berjumlah 49.5 juta.

Data terbaru dalam buku panduan dikeluarkan pada 16 Februari, menyatakan Malaysia meningkatkan pembelian vaksin Pfizer-BioNTech kepada 32 juta dos berbanding 12.8 juta yang dinyatakan sebelum ini, yang akan mencukupi untuk mengimunisasi 50% penduduk, atau sekitar 16 juta orang.

Kerajaan akan membeli 12.8 juta dos daripada AstraZeneca, yang bagi 20% penduduk.

Sebanyak 12 juta dos lagi akan diperoleh daripada Sinovac yang berpangkalan di China, untuk 18.75% populasi, dan 3.5 juta dos lagi untuk kira-kira 11% penduduk akan diperoleh daripada pengeluar China lain, CanSinoBIO.

Kerajaan juga akan membeli 6.4 juta dos vaksin Sputnik V Rusia, bagi menampung 10% penduduk.

Semua vaksin kecuali vaksin CanSinoBio akan diberikan dalam dua dos.

Sebanyak RM3 bilion diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021 untuk pemerolehan vaksin.

Malaysia akan menerima kumpulan vaksin Pfizer-BioNTech pertama pada 21 Februari.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Vaksinasi akan dilakukan secara sukarela. – 19 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen