Kebebasan menulis yang palsu


Hadri Shah

AKU membaca beberapa kali tulisan seorang pengamal undang-undang yang juga merupakan seorang penulis sastera tentang isu pengharaman buku. Aku menemui dua perkara yang sangat membingungkan.

Pertama, penulis menulis tentang peri-pentingnya menulis kritikan balas, bidasan kepada idea penulis lain dengan menyatakan sebuah hujah di mana ulama Islam yang bijaksana seperti Al Imam Al Ghazali yang menulis Tahaful Al Falasifah yang mengandungi bidasan terhadap pemahaman metafizika yang dipengaruhi gagasan pemikiran Socrates, Hippocrates, Aristotles dan Plato.

Namun kemudiannya, bidasan Imam Al Ghazali dibalas Ibn Rushd dalam makalahnya bertajuk Tahafut al Tahafut bagi mempertahankan fahaman falsafah. Penulis menganggap tradisi kebebasan menulis, mengkritik kepada setiap idea berlawanan sebeginilah punca berkembangnya keilmuan Islam.

Kedua, walaupun kebebasan berkarya dalam pengertian yang lebih kritis iaitu mendepani idea berlawanan, menyanggah pendapat penulis lain dirayakan, penulis berdiri atas pendapatnya bahawa kebebasan berkarya perlu berada di garis batasan.

Dia kembali mengambil contoh dari tindakan Imam Al-Ghazali di mana ulama itu sendiri mengambil langkah membahagi-bahagikan karyanya kepada dua bahagian: pertama, bacaan yang dibenarkan kepada khalayak umum manakala kedua, yang terlarang kecuali berkelayakan.

Tujuan mengharamkan “yang terlarang kecuali yang berkelayakan” ini kerana rasa tanggungjawab Imam Al-Ghazali terhadap masyarakat supaya apa ditulisnya tidak disalahfahamkan segolongan masyarakat yang bakal mengakibatkan ketergelinciran akidah.

Penulis dan tulisannya jelas berpendirian teguh dalam mengawal hasil tulisan yang dibukukan supaya masalah yang diterima KDN seperti “mungkin merosakkan pemikiran masyarakat” dapat dibanteras.

Apabila bercakap soal kebebasan, aku langsung teringat apa yang pernah ditulis Wayne Price, seorang penulis/pemikir anarkis yang mendedikasikan seluruh hidupnya kepada tujuan Anarkisme Sosial.

Dalam eseinya bertajuk “Do Anarchists Believe In Freedom?”, Wayne menulis baris perenggan tentang “hak kebebasan bersuara di kalangan kaum Fasis”.

Kata Wayne: “Kita mahu kebebasan bersuara untuk diri sendiri, oleh itu kita mesti mempertahankannya untuk orang lain, walaupun kepada mereka yang kita benci. Begitu juga untuk ucapan bebas untuk Komunis, Maois, dan Trotskyist ortodoks, yang, sekali gus, akan menubuhkan negeri totaliter dan membuang kita ke penjara, kerana mereka boleh. Namun serangan terhadap ucapan bebas mereka, oleh kerajaan atau orang lain, serangan kepada seluruh kaum kiri dan juga semua orang”.

Mesej Wayne Price jelas: untuk mencapai kebebasan, bukan saja berputar kepada siapa yang mahu bersuara, mengkritik, menulis tetapi kesungguhan kita menerima kritikan, tulisan balas daripada mereka yang tidak sehaluan dengan pendirian dan cita-cita kita.

Jika kita menganggap kebebasan itu suatu kemestian tetapi pada masa yang sama kita belenggukan maksud kebebasan dengan batas-batas halal-haramnya, kita sebenarnya tidak jujur dalam bercakap soal bahasa.

Kerana pada akhirnya, mereka kaum aristokrat yang kononnya sibuk bersidang di Parlimen bersama lembaga mereka yang menentukan apa boleh dan apa tidak. Keputusan apa yang boleh dan apa tidak ini tentu sekali bukan urusan keseluruhan masyarakat.

Seandainya KDN jujur dalam mengerjakan fungsinya, mengapa saja tidak menyeru kepada si pengadu buku-buku yang boleh merosakkan/mengganggu ketenteraman awam agar menulis balas akan kritikan mereka?

Mengapa pada saat ini, kita tidak mempraktikkan apa yang pernah dibuat ulama bijaksana seperti Imam Al-Ghazali dan Ibn Rusyd yang menulis pendirian mereka terhadap idea yang mereka sendiri rasakan tidak relevan?

Jika benar sekalipun tindakan Imam Al Ghazali mengharamkan sesetengah tulisannya sendiri kerana bimbang masyarakat akan salah faham, bukankah itu pilihannya sendiri?

Faisal Tehrani, Benz Ali, Zaid Ibrahim dan penulis lain yang buku mereka diharamkan membuat pilihan untuk tidak mengharamkan sendiri tulisannya kerana merasa tanggungjawab mereka menyibukkan masyarakat dengan pemikiran lebih kritis ketimbang melayani isu remeh selebriti dan skandal elit politikus yang pada titik akhirnya lenyap tanpa penjelasan sepatutnya.

Jika diteliti semula, kebanyakan buku yang haram di sisi KDN adalah buku berunsur kritikan terhadap institusi keagamaan.

Dan pengharaman ke atas buku-buku itu membawa pengertian bahasa tiada istilah seperti yang diguna penulis “korpus ilmuwan berkembang” melainkan untuk melayani kepentingan menjaga status quo.

Mengapa setelah dua tahun mengharamkan beberapa buku, tulisan pendek dan puisi tulisan Faisal Tehrani (2013 tahun pengharaman) Jakim baru menjemputnya untuk berbincang?

Isu pengharaman buku ini sebenarnya tidaklah sekompleks mana. Ia memerlukan kesediaan pertama merangkul maksud sebenar kebebasan.

Kerana dari awalnya, kita semua tidak pernah bersikap jujur dalam soal kebebasan namun pandai dalam menghujahnya dengan memanipulasi fakta-fakta silam untuk penjelasan yang berbau muluk-muluk. – 31 Disember, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen