Politik Kelantan pasca perpecahan PAS


Awang Azman Awang Pawi

KELANTAN sebuah negeri yang sebenarnya paling banyak dibantu oleh kerajaan persekutuan khususnya dalam pemberian geran perbelanjaan mengurus negeri. 

Tujuannya untuk menampung defisit perbelanjaan mengurus akibat kelemahan kerajaan Kelantan terutama daripada aspek kewangannya. 

Sejak 2005, hampir setiap tahun bantuan kewangan disalurkan atas semangat persekutuan apabila berlakunya defisit perbelanjaan mengurus. Malah dalam perbelanjaan Bajet 2018 terdapat defisit sebanyak RM41.54 juta.

Kerajaan negeri Kelantan banyak bergantung pada hasil tanah yang menyumbang sekitar 34% manakala hasil hutan pula menjadi menyumbang kedua terbesar. Berlakunya defisit perbelanjaan dan bantuan kerajaan pusat ini dilihat sebagai salah satu kelemahan kerajaan negeri yang kini mempunyai hampir 2 juta penduduk dan mempunyai pengundi luar yang terbukti dapat mengubah politik Kelantan nanti.

Kedudukan Kelantan ini umpama “anak emas” kerajaan persekutuan meskipun Kelantan bukanlah di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dan setiap pilihan raya umum (PRU), Umno gagal menawan Kelantan sejak 1990.

Ketidakupayaan menampung perbelanjaan mengurus ini dapat dilihat apabila bantuan kini menghampiri jumlah RM1 bilion sejak 2004. Malah pada 2000 pada zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad juga bantuan ini juga diberikan. Hanya pada 2008 kerajaan negeri tidak meminta bantuan mengurus daripada kerajaan pusat.

Berdasarkan hakikat ini, dakwaan kerajaan pusat zalim, mengabaikan pembangunan di Kelantan ternyata tidaklah benar.

Malah di Kuala Krai pembinaan hospital baru bernilai lebih RM300 juta dan pembinaan jalan raya Kota Bharu-Kuala Krai lebih RM400 juta, menunjukkan Kelantan pimpinan PAS tidak diabaikan kerajaan pusat meskipun Umno hanya mempunyai 12 kerusi DUN manakala PAS menguasai 31 kerusi dan selebihnya PKR dan Amanah masing-masing mempunyai satu kerusi.

Bergantung

Bantuan terhadap kerajaan negeri juga bukanlah sesuatu yang baru. Malah sejak zaman Tun Razak, kerajaan PAS turut dibantu termasuk penubuhan KADA (Kemubu Agricultural Development Authority) bagi penanaman padi dan agro makanan, galakan ladang ternakan haiwan di Tanah Merah, pembinaan jambatan Sungai Golok, pembinaan masjid, pasar dan rumah murah untuk rakyat Kelantan serta kemudahan infrastruktur lain.

Meskipun kerajaan negeri ketika itu diperintah PAS di bawah pimpinan seperti Mohd Asri Muda dan Muhamed Nasir yang ketika itu menteri besar.

Situasi ini lama kelamaan mewujudkan kecurigaan terhadap menteri besar seolah-olah bersikap pro Umno dan BN. Akhirnya menyebabkan terjadinya perpecahan dalaman PAS hingga wujud parti serpihan seperti Berjasa dan Hanim.

Ketika era Najib Razak sekarang juga seolah-olah mengikut jejak sama seperti ayahandanya yang lebih banyak memberikan bantuan kepada kerajaan negeri Kelantan berbanding kepimpinan sebelum ini. Hubungan yang rapat ini menyebabkan akar umbi PAS meragui kepimpinan tertinggi parti Islam itu terutama di antara Hadi Awang dan Najib.

Maka inilah antara faktor selain terbentuknya perpecahan golongan ulama dan profesional yang menjadi bibit-bibit perpecahan dalaman PAS hingga wujudnya parti serpihan, iaitu Amanah.

Perpecahan PAS, rahmat Umno

Apabila Amanah terbentuk ia semacam rahmat kepada Umno. Yang pertama, kini PAS sudah mempunyai dua musuh, iaitu Umno dan Amanah. Kejayaan Umno kini ialah berjaya berperanan secara politik licik memecahkan PAS hingga keluar daripada Pakatan Rakyat meskipun DAP pun mempunyai peranan yang besar juga dalam hal ini.

Apabila PAS keluar Pakatan, ini akan menyebabkan undi PAS berpecah dua, iaitu golongan tetap setia menyokong PAS dan sekelompok lagi beralih sokongan kepada Amanah. Perpecahan ini tentulah sangat menguntungkan Umno di Kelantan.

Sekiranya dilihat berdasarkan kerusi marginal kemenangan PAS, ia dijangka beralih kemenangan kepada Umno kerana undi PAS berpecah dua. Ia disebabkan akan berlakunya perlawanan tiga penjuru antara PAS, Amanah dan Umno yang tidak dapat dielakkan. 

Mustahil PAS dan Umno membentuk pakatan pilihan raya di Kelantan kerana kerjasama Umno dan PAS lebih kepada kerjasama bukan politik seperti solidariti isu Israel saja. Akar umbi PAS dan penyokong Umno sentiasa memprotes kerjasama ini walaupun kononnya kepimpinan tertinggi PAS dan Umno tidak melihat ini sebagai masalah besar.

Hakikatnya, Umno lebih dilihat menggunakan PAS untuk memecahkan undi Pakatan Harapan (PH) dan tidak lebih daripada itu.

Peluang kerjasama PH dan PAS

Namun difahamkan kepimpinan tertinggi PH masih mengadakan perbincangan tidak rasmi bersama PAS Kelantan. Perbincangan ini dikatakan mencari kata sepakat terbaik bagi mengelakkan pertembungan PAS dan PH di Kelantan.

Cuma dikatakan PAS sukar untuk bertolak-ansur orang dalam Amanah yang “merampas” kerusi dan melanggar baiaah PAS sebelum pembubaran DUN atau parlimen.

Bagi Umno pula cara terbaik melemahkan PAS melalui Amanah. Di Kelantan terdapat situasi seolah-olah Amanah bukanlah musuh utama Umno. Sebab itu, sering terkandung dalam ceramah Amanah lebih banyak mengkritik kelemahan dan “salah guna” dalam tadbir urus kerajaan negeri PAS berbanding Umno.

Hal ini terbukti  dalam ceramah Husam Musa di Crystal Lodge baru-baru ini.

Di pihak Umno Kelantan pula seakan-akan berlakunya kebungkaman politik apabila berhadapan dengan PAS. Hal ini berlaku seolah-olah berlakunya inferior kompleks politik Umno Kelantan setelah gagal menawan Kelantan selama 27 tahun. 

Rendah diri politik ini seolah-olah menyerahkan tugas mengkritik salah laku kepimpinan kerajaan negeri Kelantan kepada Amanah dan hanya bersyukur kepada kerusi yang sedia ada. Selebihnya Umno Kelantan dilihat hanya berharap akan kelebihan dan kemenangan tergolek hasil daripada pertandingan tiga penjuru.

Kelebihan dan hambatan Amanah

Amanah pula mempunyai kelebihan politik dalam mengkritik kelemahan kerajaan negeri kerana Husam pernah menjadi exco penting dalam kepimpinan PAS dan kerajaan negeri Kelantan khususnya pada era Nik Aziz Nik Mat.

Malah Husam mengakui mempunyai buku yang mengandungi bukti salah laku kepimpinan kerajaan Negeri PAS termasuk anak-anak syarikat kerajaan negeri, isu tanah dan balak yang akan diedarkan dalam masa terdekat ini.

Amanah sendiri, sukar mencapai kemenangan di DUN Salor. Sebab itu, difahamkan Husam akan bertanding di kawasan DUN lain. Dikatakan juga Husam akan bertanding di Kota Bharu. Langkah bertanding di Kota Bharu dilihat langkah meraih undi bandaran di Kota Bharu meskipun sukar menewaskan Takiyuddin Hassan yang dianggap masih popular sebagai ahli Parlimen Kota Baharu walaupun dia anak kelahiran Kedah.

Potensi kemenangan Husam di Kota Bharu sebenarnya bergantung kepada pengundi luar di Kelantan yang selama ini banyak menyokong PAS dalam PRU sebelum ini. 

Dikatakan berdasarkan sentimen politik nasional, terdapat sebahagian pengundi luar Kelantan yang terdiri daripada pengundi tidak pasti, undi muda luar dan pengundi konservatif PAS dijangka beralih arah menyokong PH khususnya parti Amanah. Inilah yang menjadi harapan Husam, Amanah dan PH.

Sekiranya, strategi ini kurang berjaya, sekurang-kurangnya Husam berjaya membawa perubahan minda pengundi luar Kelantan dan pengundi totok PAS. Langkah Husam bertanding di Putrajaya dulu dilihat sebagai tindakan politik untuk menyatukan anak Kelantan di perantauan, mengukuhkan semangat Kelantan.

Semangat ini dimanfaatkan pada kali ini untuk mengubah landskap politik PAS di Kelantan untuk beralih arah kepada Amanah sebagai lambang sokongan profesional dan golongan cerdik pandai pengundi luar Kelantan terhadap dinamika kepimpinan progresif bawaan Husam.  

Sekiranya langkah ini berjaya maka ia akan menjejaskan kedudukan prestasi kerusi PAS dan akan pasti berlakunya desakan terhadap perubahan struktur kepimpinan PAS sedia ada. Di sinilah peranan sebenar Amanah dan dijangka perubahan struktur kepimpinan ini akan membawa Husam kembali kepada PAS.  

Ia proses yang agak panjang tetapi yang pasti ia akan membawa kepada perubahan budaya politik pembangkang di negeri Kelantan dari kaca mata Husam yang pernah menjadi sebahagian daripada kepimpinan PAS yang kini melihat PAS sebagai tidak progresif dan ditukar agar terus relevan dalam menghadapi cabaran pada abad ke-21 ini. – 31 Disember, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • perpecahan PAS berlaku disebabkan manusia2 yg tamakkan kuasa..yg sanggup membelakangi parti itu demi mendapatkan kuasa & menubuhkan satu parti baru..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan