Hadi stabil, tidak dibenarkan terima pelawat


Mohd Farhan Darwis

Presiden PAS Abdul Hadi Awang kini dalam keadaan stabil dan memerlukan rehat selepas dimasukkan ke IJN malam semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2021.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang semakin stabil selepas menerima rawatan di hospital namun masih memerlukan pengawasan lanjut, kata Setiausaha Politiknya Mohd Syahir Sulaiman.

Syahir berkata, doktor juga tidak membenarkan ahli Parlimen Marang itu menerima pelawat.

“Tuan Guru (Hadi) semakin stabil. Doktor sudah jalankan pemeriksaan rapi, cuma masih perlu monitor lanjut. Doktor nasihatkan tiada pelawat. Terima kasih,” kata Syahir, kepada The Malaysian Insight.

Awal pagi tadi, anak kepada presiden PAS itu Muhamad Khalil Abdul Hadi mengesahkan bapanya dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) malam semalam.

Beliau berkata Hadi berada dalam keadaan stabil dan memerlukan rehat disebabkan jadual yang padat.

Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahya malam tadi turut menghebahkan berita Hadi dikejarkan ke Hospital Putrajaya selepas mengalami sesak nafas.

“Doktor memaklumkan keadaan beliau stabil. Jantung beliau lemah berkemungkinan disebabkan dalam keadaan penat,” tulisnya.

Hadi kemudian dilapor dipindahkan ke IJN untuk rawatan susulan, dan akan menjalani ujian saringan Covid-19 di pusat rawatan jantung itu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga kemudian meminta orang ramai mendoakan kesihatan Hadi.

“Menerima berita mengejutkan Hadi dimasukkan Hospital Putrajaya malam ini sebelum dipindahkan ke IJN untuk rawatan lanjut.

“Marilah kita bersama mendoakan kesembuhan kepada tuan guru dan kembali sihat seperti sedia kala,” tulisnya di Twitter dan Facebook.

Hadi pernah dimasukkan ke IJN pada April 2019 untuk berehat selepas menjalani pemeriksaan doktor di hospital itu. – 16 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen