Hadi Awang stabil, kata anaknya


Presiden PAS Abdul Hadi Awang kini dalam keadaan stabil dan memerlukan rehat selepas dimasukkan ke IJN malam tadi, kata anaknya Muhammad Khalil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2021.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang kini dalam keadaan stabil dan memerlukan rehat selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi, kata anaknya Muhammad Khalil.

“Saya baru bercakap dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi. Keadaan beliau stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat.

“Mohon doa dari semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah,” tulisnya, yang juga Adun Batu Buruk, di Facebook pagi ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahya malam tadi menghebahkan khabar Hadi dikejarkan ke Hospital Putrajaya selepas mengalami sesak nafas.

“Doktor memaklumkan bahawa keadaan beliau stabil. Jantung beliau lemah berkemungkinan disebabkan dalam keadaan penat,” tulisnya.

Hadi kemudian dilapor dipindahkan ke IJN untuk rawatan susulan, dan akan menjalani ujian calitan Covid-19 di pusat rawatan jantung itu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga kemudian meminta orang ramai mendoakan kesihatan Hadi.

“Menerima berita mengejutkan Hadi dimasukkan Hospital Putrajaya malam ini sebelum dipindahkan ke IJN untuk rawatan lanjut.

“Marilah kita bersama mendoakan kesembuhan kepada tuan guru dan kembali sihat seperti sedia kala,” tulisnya di Twitter dan Facebook.

Hadi pernah dimasukkan ke IJN pada April 2019 untuk berehat selepas menjalani pemeriksaan doktor di hospital itu. – 16 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen