Mahasiswa cari 'sugar daddy' meningkat dalam platform Sugarbook 


Aminah Farid

Aplikasi Sugarbook merupakan perkhidmatan kepada golongan wanita dan lelaki yang mencari pasangan berkonsep sugar dating. – Gambar Facebook, 10 Februari, 2021.

PLATFORM aplikasi temu janji ‘sugar daddy’ terbesar di Asia, Sugarbook, mendedahkan kenaikan pendaftaran keahlian sebanyak 40% di platformnya dalam kalangan mahasiswa demi menanggung kos yuran pengajian, rumah dan sara hidup.

Sugarbook dalam satu kenyataan berkata bahawa trend tersebut disaksikan meningkat sepanjang pandemik Covid-19 dan pelaksanaan prosedur operasi standard yang ketat (SOP) sejak beberapa bulan lalu.

Universiti Sunway mengungguli tempat teratas dengan 3,105 keahlian dalam aplikasi Sugarbook, diikuti Universiti INTI International dan Universiti Taylor masing-masing dengan 2,624 dan 1,696 ahli.

“Sejak pelaksanaan PKP pada bulan Mac tahun lalu, semua universiti awam dan swasta terpaksa ditutup, semua aktiviti pengajian dilaksanakan secara dalam talian.

“Walaupun beberapa kajian semula dijalankan, yuran pengajian universiti tetap sama, hal ini terbukti ia menjadi salah satu perbelanjaan paling mencabar bagi kebanyakan keluarga,” kata Darren Chan yang merupakan pengasas dan ketua pengarah eksekutif Sugarbook

Sugarbook adalah laman web dan platform aplikasi yang dibentuk berdasarkan konsep ‘sugar dating’.

Istilah sugar daddy sering digunakan untuk menggambarkan hubungan di mana sokongan kewangan ditukar untuk sebuah persahabatan romantik, yang mungkin melibatkan hubungan seksual atau tidak.

Dalam dunia temu janji itu, individu yang lebih mampu dari sudut kewangan akan memberikan hadiah berupa wang tunai, atau sokongan dana gaya hidup untuk teman romantik yang akan bergantung dengan mereka. Teman romantik yang didana itu kemudian akan membalas ‘jasa’ mereka dengan meluangkan masa dan kasih sayang mereka.

‘Sugar dating’ yang biasanya dilihat melibatkan wanita muda dan lelaki berusia, konsep ini sering dianggap sama seperti pelacuran dan mereka yang terlibat berisiko dengan jenayah lain dalam transaksi itu termasuk  pembunuhan, penipuan kewangan, rogol, dan penderaan.

Statistik daripada aplikasi itu juga menunjukkan bahawa purata usia seorang teman romantik ‘sugar baby’ berusia 23 tahun, sementara purata usia seorang ‘sugar daddy’ adalah 35 tahun.

Seorang sugar baby boleh mendapat elaun sekitar RM2,500 sebulan. Dengan jumlah tersebut ia mungkin tidak cukup bagi membayar yuran pengajian universiti.

Walaupun institusi terpaksa ditutup, di samping pensyarah dan pelajar terpaksa menjalankan aktiviti pengajian dalam talian, yuran pengajian universiti tetap sama seperti sebelum pandemik .

“Sekarang ini waktu sukar. Platform kami beri peluang untuk cari penyelesaian ekonomi pada masa-masa yang tidak menentu ini.

“Dating dengan seseorang yang lebih berjaya atau berpengalaman boleh beri faedah, dan insentif kewangan adalah salah satu daripadanya.

“Mereka boleh berhubung dengan individu berpendapatan tinggi selain boleh mengejar kemajuan dalam kerjaya.

“Hari Valentine yang semakin hampir, sugar baby rata-rata mendapat elaun bulanan sehingga RM2,500. Ini sangat membantu pelajar universiti yang sedang berjuang terutama pada masa-masa sukar ini,” kata Chan.

Sugarbook mendapat kecaman pada tahun 2019 ketika iklannya dipamerkan di beberapa papan iklan elektronik di Kuala Lumpur. Majlis Bandaran turut menganggapnya sebagai lucah dan menyinggung perasaan.

Walau bagaimanapun, Chan mempertahankan aplikasi tersebut dan berkata bahawa laman web itu dibina bagi menyediakan platform temu janji untuk individu, yang boleh memilih untuk melakukan apa yang mereka mahu daripada hubungan yang ideal tanpa dipandang serong.  – 10 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen