Polis rakam keterangan penerbit buku Tommy Thomas  


Kamles Kumar Kalidevi Mogan Kumarappa

Polie merakam keteangan pengasas Gerakbudaya Chong Ton Sin di Bukit Aman pagi tadi selepas kedai bukunya dikunjungi pegawai Kementerian Dalam Negeri.– Gambar Facebook, 5 Februari, 2021.

PENERBIT memoir kontroversi bekas peguam negara Tommy Thomas, ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tampil memberi keterangan di Bukit Aman hari ini.

Pengasas Gerakbudaya Chong Ton Sin berkata beliau tampil untuk siasatan polis selepas pegawai Kementerian Dalam Negeri mengunjungi kedai buku syarikat itu di Petaling Jaya semalam.

“Kenyataan saya diambil hari ini. Kementerian Dalam Negeri juga datang untuk membeli sebuah buku itu semalam,” kata Chong ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Chong disiasat selepas beberapa laporan polis dibuat terhadap Thomas berhubung buku tersebut, antaranya berkaitan fitnah jenayah.

Tambah Chong buku berkenaan laris selepas laporan berita ia mungkin akan diharamkan susulan apa yang berlaku.

Menurutnya cetakan kedua sebanyak 5,000 salinan sudah habis dijual, yang mana Thomas membeli 2,000 salinan. Gerak Budaya kini sedia untuk cetakan ketiga tidak lama lagi.

“Orang ramai membeli buku ini. Ia terjual dengan cepat. Mungkin ramai yang mahu dapatkannya sebelum ia diharamkan,” kata Chong.

Chong turut menafikan buku itu dikeluarkan daripada laman web Gerakbudaya kerana bimbang tndakan kerajaan atau kritikan awam.

Jelasnya, ia dikeluarkan dari katalog tersebut kerana penerbit dan pengedar tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi.

“Tidak ada, ia disebabkan kita sudah menerima banyak tempahan dan kalau letak di laman web pun tiada guna kerana tidak ada lagi buku buat masa ini,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu The Malaysian Insight, polis membuka dua kertas siasatan selepas menerima tujuh laporan berkaitan kes berkenaan.

“Dua kertas siasatan itu masing-masing mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan memfitnah dan Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Laporan itu antara lain diterima daripada bekas peguam negara Apandi Ali yang mendakwa Thomas mendedahkan rahsia negara menerusi buku itu.

Apandi juga mendakwa Thomas dengan sengaja melanggar Seksyen 8 OSA dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan.

Bekas peguam cara negara III Mohamad Hanafiah Zakaria turut membuat laporan polis mendakwa beliau difitnah oleh Thomas.

Ia berkaitan dakwaan mengenai penglibatannya dalam penyediaan kes pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung jenayah melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Beberapa pemimpin Pemuda Umno turut membuat laporan polis di Kuala Lumpur dan Kelantan menuntut Thomas untuk disiasat kerana melanggar OSA.

Peguam Negara Idrus Harun turut membidas Thomas kerana merendahkan kakitangan Jabatan Peguam Negara dan menuduh beliau tidak memahami tugas penjawat awam.

Terdahulu hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Kementerian Dalam Negeri mungkin akan mengharamkan memoir Thomas kerana melanggar OSA.

Laporan itu berkata kementerian sedang bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara berkaitan beberapa bab yang kontroversi dalam buku itu.

Kandungan buku itu turut ditolak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Buku tersebut antara lain membicangkan pendakwaan kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), masalah dihadapnya di Pejabat Peguam Negara dan pelantikannya.

Beliau turut mendakwa, Dr Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan sebagai perdana menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong selepas kerajaan Pakatan Harapan runtuh pada Februari tahun lalu.– 5 Februari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen