Hormati pengisytiharan darurat Agong, kata Muhyiddin


PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin menggesa semua pihak agar menghormati pengisytiharan darurat yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, serta berhenti daripada membuat fitnah tidak berasas mengenainya.

Katanya, perisytiharan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu tidak mempunyai maksud tujuan lain, selain daripada membendung penularan pandemik Covid-19.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak supaya berhenti melemparkan tohmahan yang tidak berasas terhadap keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan Proklamasi Darurat. 

“Kerajaan telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku selepas Tuanku berpuas hati bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan Jemaah Menteri,” katanya dalam perutusan kepada rakyat yang dibiarkan melalui televisyen petang ini.

Muhyiddin menyampaikan perutusan itu sebelum berlepas ke Jakarta untuk lawatan singkat mengunjungi Presiden Indonesia Joko Widodo esok. Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lalu mengisytiharkan darurat di seluruh Malaysia yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos, atau lebih awal bergantung pada nasihat sebuah jawatankuasa bebas yang diperkenan oleh baginda. 

Muhyiddin juga sekali memberi jaminan akan membubarkan Parlimen apabila keadaan sudah sesuai untuk diadakan pilihan raya.

“Saya ingin ulangi komitmen saya bahawa saya akan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak Covid-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum adalah selamat untuk diadakan,” tambahnya.

Hormati proses perundanga

Menurut Muhyiddin, walaupun ada pihak yang cuba mencabar pengisytiharan darurat di mahkamah, beliau percaya Yang di-Pertuan Agong memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan.

Beliau sendiri juga katanya hormat akan sistem dan proses perundangan negara.

Setakat ini terdapat tiga tindakan mahkamah berhubung pengisytiharan darurat yang dikemukakan oleh pemimpin pembangkang, termasuk Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR.

Pada 25 Januari lalu, Anwar memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi semakan kehakiman mencabar kuasa Muhyiddin untuk menasihati Agong supaya menggantung Parlimen.

Sehari kemudian, tiga wakil rakyat negeri dari Pakatan Harapan juga mengemukakan tindakan sama mempersoalkan nasihat Muhyiddin kepada Agong untuk turut menggantung dewan undangan negeri.

Bekas ahli Amanah Khairuddin Abu Hassan juga memfailkan satu tindakan mahkamah berasingan membangkitkan persoalan undang-undang yang sama.

Semua tindakan mahkamah itu mempertikaikan kuasa yang ada pada Muhyiddin sebagai perdana menteri untuk menasihati Agong, ketika beliau dipercayai sudah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat terutama selepas dua ahli parlimen Umno menarik sokongan mereka.

Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakob mengumumkan menarik sokongannya pada 9 Januari, empat hari sebelum perisytiharan darurat sementara Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz pada petang selepas pengumuman darurat.

Semalam, Malaysia sekali lagi merekodkan lebih 4,000 kes baharu jangkitan covid-19, menjadikan keseluruhan kes sejak setahun lalu kini hampir 227,000 dengan 809 kematian.

Dalam tempoh 15 hari lalu antara 20 Januari hingga 3 Februari, Malaysia juga tiga kali mencatatkan rekod jumlah kes baharu harian tertinggi iaitu 4,275 pada 23 Januari, 5,275 pada 29 Januari dan 5,278 sehari selepas itu.

Dalam perutusannya hari ini Muhyiddin menggariskan beberapa langkah yang akan diambil oleh kerajaan dengan kuasa darurat yang ada bagi membendung penularan Covid-19. – 4 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen