3 Adun Pakatan cabar penggantungan DUN


Tiga Adun PH cabar keabsahan penggantungan DUN dan menamakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Malaysia sebagai responden. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2021.

TIGA wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) mencabar keabsahan penggantungan dewan undangan negeri (DUN) apabila memohon kebenaran daripada mahkamah untuk semakan kehakiman terhadap kuasa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung tindakan di bawah perintah darurat.

Permohonan dibuat oleh tiga Adun di Johor, Kedah dan Perak semalam, sehari selepas ketua pembangkang Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH mengemukakan permohonan sama mempertikaikan penggantungan Parlimen.

Tiga wakil rakyat negeri itu ialah Adun Simpang Jeram (Johor) Salahuddin Ayub, Adun Gurun (Kedah) Johari Abdul dan Adun Tebing Tinggi (Perak) Dr Abdul Aziz Bari, masing-masing dari Amanah, PKR dan DAP.

Salahudin dan Johari, yang juga ahli Parlimen Pulai dan Sungai Petani, turut mempertikaikan nasihat sama perdana menteri untuk menggantung Parlimen.

“Permohonan ini bagi membolehkan Klausa 11, 14 dan 15 Ordinan Darurat yang dikatakan tidak berperlembagaan disemak oleh Mahkamah.

“Permohonan ini juga bagi membolehkan kuasa oleh perdana menteri dan Kabinet serta menteri besar, ketua menteri dan exco negeri yang dikatakan tidak dapat dipertanggungjawabkan kepada Parlimen dan DUN disemak oleh Mahkamah,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Mereka juga menamakan Muhyiddin selaku perdana menteri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Selain menggantung Parlimen, perintah darurat yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos, 2021 turut menggantung semua DUN, serta pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.

Ordinan yang diwarta pada 14 Januari lalu juga mengekalkan kuasa pada perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri untuk terus mentadbir dan menjalankan kuasa eksekutif yang ada pada mereka sepanjang tempoh darurat berjalan.

Ia juga mengekalkan jemaah menteri, majlis mesyuarat kerajaan negeri dan Kabinet negeri.

Permohonan tiga Adun PH ini dibuat melalui firma guaman Chooi & Company + Cheang & Ariff, manakala pasukan guamannya disertai peguam kanan Gurdial Singh Nijar dan Razlan Hadri.

Perkara 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Khas) 2021 menyentuh kuasa perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri bersama ahli Jemaah Menteri dan exco negeri di bawah perintah darurat.

Perkara 14 dan Perkara 15 pula berhubung penggantungan Parlimen dan DUN.

Peruntukan itu menggantung peruntukan undang-undang berhubung dengan tindakan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dan DUN.

Ia sebaliknya memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian pada suatu tarikh yang baginda fikirkan sesuai.

Sebuah jawatankuasa bebas juga sedang dibentuk, atas titah Yang di-Pertuan Agong, untuk menasihati baginda sekiranya pelaksanaan perintah darurat dapat ditamatkan lebih awal sebelum 1 Ogos, 2021.

Pada Rabu lalu, PH mengumumkan tiga nama wakilnya dikemukakan untuk menganggotai jawatankuasa bebas itu. Mereka ialah tiga ahli Parlimen yang mewakili tiga parti dalam PH iaitu Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Bharu), Anthony Loke Siew Fook (Seremban), dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Pada Sabtu berikutnya, Anwar mendakwa majoriti ahli parlimen bersetuju untuk Parlimen bersidang segera untuk menyelesaikan isu berkaitan Covid-19, membayangkan penolakan terhadap langkah pentadbiran Muhyiddin melaksanakan perintah darurat.

Pada 12 Januari lalu, Muhyiddin semasa menjelaskan persiytharan darurat berkata langkah itu bukan satu rampasan kuasa tetapi hanya darurat pentadbiran untuk meningkatkan penguatkuasaan keselamatan menangani Covid-19. – 27 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen