Kritikan kecil kepada Ikarus karya SM Zakir


Naim Al-Kalantani

SAYA seorang pembaca daripada mazhab yang menyatakan sesebuah karya kreatif perlu datang bersama naratif dan plot yang mempunyai sebab dan akibat.

Dengan kata lain, sesebuah naratif akan terbentuk disebabkan sesuatu perkara walaupun perkara tersebut mempunyai kemungkinan yang sangat kecil.

Saya baru selesai membaca novel “Ikarus” karya penulis mapan yang tidak asing lagi dalam arena penulisan sastera tanah air, SM Zakir yang juga seorang sosok yang saya kenali dan saya hormati. 

Ikarus mengambil kisah daripada Icarus dan Daedalus dalam mitologi Yunani yang mengisahkan seorang lelaki mempunyai sayap untuk terbang.

Kisah kuno ini dijadikan bahan magis kepada watak Iskandar sebagai Icarus.

Di awal pembacaan saya agak bersemangat kerana dibuka dengan naratif realpolitik dan berkembang dengan baik.

Sehingga beberapa bab, saya terganggu kerana unsur lain yang tidak diperlukan juga dimasukkan ke dalam novel yang tebal ini.

Bacaan saya terganggu kerana beberapa faktor lain, antaranya ialah teknik penulisan khutbah yang berjela-jela tanpa sempat pembaca bernafas untuk melangkah dengan tenang.

Penulisan perenggan yang panjang dan isinya tiada kena mengena dengan penceritaan juga melelahkan pembaca.

Saya mengambil maklum di kulit hadapan buku ini telah ditulis “novel magis” tetapi kemagisannya bercelaru dan tiada kausalitas yang dapat menampung realisme itu dengan berkesan. 

Saya pernah membaca Haruki Murakami, pernah menelaah beberapa karya Eka Kurniawan, dan pernah juga seorang peminat besar Roslan Jomel.

Mereka ini menulis secara konsisten dari awal sehingga akhir magisnya dan saya tidak begitu terganggu dengan kebanyakan karya mereka kerana dalam setiap helaian muka suratnya mempunyai “cerita” dan naratif yang ditulis, walaupun ada kalanya tidak menarik.

Naratif, bagi saya sangat penting dan tidak boleh diganggu-gugat dengan hal lain.

Faisal Tehrani yang dahulunya terkenal dengan novel khutbahnya juga membawa naratif walaupun khutbahnya sangat panjang.

Tetapi dalam Ikarus, beberapa perkara yang sepatutnya diceritakan, tidak diceritakan dengan baik, bahkan ia ditinggalkan dan mungkin penulis menganggap penonton dapat menerimanya. 

Ya, saya dapat memahami cerita tersebut, tetapi perbuatan yang berselang-seling dengan khutbah meleret-leret dapat mematikan nafsu pembaca.

Setelah bacaan saya, sempat saya menyemak beberapa komentar dan reviu di GoodReads. Ramai antara mereka menyatakan ia sebuah novel politik dan futuristik.

Saya tidak menganggapnya begitu. Bagi saya Ikarus hanya sebuah novel magis yang berceritakan mengenai kisah (ya, kisah) perjalanan seorang manusia yang bernama Iskandar mendepani hari-harinya yang mendatang. Itu sahaja.

Terlalu berat hati saya untuk menganggap ia sebagai novel politik walaupun sangat menarik apabila SM Zakir memasukkan beberapa ideologi dan isu politik di dalamnya.

Isu-isu ini dimasukkan dengan tulisan-tulisan seperti memaksa pembaca menghabiskan bacaan yang sangat membosankan walaupun isunya menarik.

Kesemua ini terjadi kerana tiada keterikatan antara naratif, watak, dan kausalitas yang saya katakan tadi.

Novel ini ditulis diterbitkan pada 2018, beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Seingat saya, semasa saya mendapatkan novel ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018, novel ini baru sahaja diterbitkan, dan beberapa bulan kemudian, PRU14 berlangsung. 

Dalam novel ini, pengamatan tajam si penulis menyebabkan dapat membaca peristiwa akan datang.

Babak di mana pembangkang telah menang pada pilihan raya boleh saya katakan bertepatan dengan apa yang berlaku pada malam, dan hari-hari selepas pilihan raya.

Pun, saya tidak beranggapan ia sebagai sebuah novel futuristik. Novel ini sangat tebal dan tema utamanya magis dan politik. Kekuatan magis lebih diangkat berbanding isu politik.

Bab yang mana penulis menggambarkan keadaan malam pilihan raya tersebut, tidak cukup kuat dikatakan sebagai dapat menelaah masa depan kerana beberapa muka surat, atau sekurang-kurangnya satu bab tersebut tidak memberi impak besar kepada keseluruhan novel ini.

Di sampul hadapan novel ini juga menyatakan bahawa novel ini mengandungi kisah-kisah cinta.

Cinta di antara Iskandar dengan Ibtisam yang mana kisah cinta antara majikan dan pekerja. Tema ini sangat lemah, dan saya boleh katakan ia sebagai mengarut.

Ada satu babak di mana secara tiba-tiba Ibtisam menangis atau kesedihan kerana “kehilangan” Iskandar menyebabkan saya katakan ia sebagai mengarut.

Ibtisam dan Iskandar hanya bercinta melalui “telepati” dan diberitahu (ditulis) oleh sang penulis.

Tiada langsung babak yang cukup kuat untuk membuatkan Ibtisam menangis apabila kehilangan Iskandar tersebut.

Mereka tidak pernah “bersua” dan tidak pernah meluahkan rasa masing-masing. 

Penulis tahu, pembaca tahu, tetapi pandangan (point of view) dari mereka berdua sendiri saya kira amat mustahil.

Ya betul, kita boleh sukakan seseorang hanya dengan melihat perwatakannya, tetapi masalah sekarang tiada babak yang cukup kuat yang menandakan mereka ini telah mesra.

Satu babak yang mana Iskandar pulang ke kampung yang amat menarik kisahnya tetapi tidak dapat menggerakkan plot. Seperti penulis hanya sekadar menulis untuk menebalkan lagi novelnya.

Bab itu sangat menarik bagi saya. Saya menunggu-nunggu apa yang akan berlaku dan… hilang begitu sahaja. Sebab itu di atas tadi saya telah nyatakan bahawa novel ini hanyalah sebuah novel kisah Iskandar.

Murakami banyak kali menulis babak atau adegan “tanpa sebab”. Tetapi Murakami menulis dari awal sehingga akhir dengan konsisten dan bukan berceramah.

Begitu juga dengan penulis lain yang saya nyatakan di atas tadi.

Saya bukan ingin menyamakan SM Zakir dengan penulis-penulis ini kerana setiap penulis ada kekuatannya, ada keunikan tersendiri. 

Tetapi, disebabkan saya datang dari mazhab yang menyatakan perlukan sebab dan akibat dalam mana-mana karya kreatif, dan juga sebuah karya kreatif tidak boleh ‘mengajar’ pembaca, maka saya katakan Ikarus adalah sebuah novel yang hanya bercerita tanpa sebab.

Saya mengenali sosok tuan SM Zakir secara peribadi. Kesemua pandangan kecil saya ini bukanlah untuk mengeruhkan persahabatan kami dan saya tiada sebarang masalah peribadi dengannya.

Saya percaya seorang SM Zakir berjiwa besar dan dapat menerima pandangan yang telah saya ajukan di atas. 

Pandangan ini tidak semestinya benar dan saya bukanlah ingin membenarkan diri saya dan menuduh penulis telah berbuat satu kesalahan di dalam penulisannya. 

Tulisan ini hanya bertujuan untuk mengimbangi perasaan dan pengalaman saya membaca Ikarus.

Pun, tidak mustahil satu hari nanti apabila “pencerahan” telah datang, kemungkinan tulisan ini tidak lagi relevan untuk diri saya. – 2 Februari, 2021.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen