Pemborong tidak setuju SOP dilonggarkan di pasar borong KL


Bernard Saw

Pasar itu ditutup secara berkala sejak tahun lalu berikutan penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2021.

EMPAT persatuan pemborong menghantar surat rayuan kepada Majlis Keselamatan Nasional (MKN) supaya membatalkan syarat ketat untuk masuk ke pasar borong Kuala Lumpur di Selayang.

Namun salah satu penandatangan kesal dengan surat rayuan tersebut.

Presiden Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur Sing Kian Hock berkata beliau tidak setuju dengan rayuan terhadap syarat kemasukan ketat memandangkan jangkitan boleh berlaku tanpa gejala.

Beliau menandatangani surat bersama itu pada Jumaat bersama dengan ketua persatuan sayur, buah dan daging.

Bagaimanapun, Sing kemudiannya memberitahu The Malaysian Insight beliau prihatin jika penularan wabak kembali di pasar itu.

Pasar itu menghadapi penutupan berkala sejak tahun lalu berikutan penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja.

Sebaliknya, dasar semasa yang memerlukan bukti ujian Covid-19 harus dipertahankan, dan vendor di pasar juga perlu membuat ujian kedua saringan selepas 4 Februari nanti apabila perintah kawalan pergerakan dijangka tamat.

“Ini akan memastikan pasar benar-benar selamat dan dapat mengembalikan keyakinan masyarakat umum.”

Penularan wabak pada awal Januari bermula dalam kalangan penjual ikan di Pasar Borong KL, menyebabkan bahagian ikan ditutup lima hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2021.

Menurut hasil ujian saringan di pasar borong pada pertengahan Januari, terdapat lebih dari 170 kes positif daripada 4,000 orang yang disaring.

Sejak itu, pelbagai jenis perniagaan di pasar ditutup selama beberapa hari kerana pemeriksaan dan pembasmian kuman.

Ketua-ketua persatuan pemborong lain berkata, syarat masuk yang ketat telah menyebabkan mereka kehilangan pelanggan.

Namun Sing risau keadaan akan lebih buruk jika syarat itu ditarik kembali, dengan seluruh pasar ditutup untuk tempoh yang lebih lama.

“Syarat itu boleh beri kesan terhadap perniagaan selama satu atau dua bulan. Tetapi sekurangnya ia boleh menjamin keselamatan dan kesihatan buat semua vendor dan pekerja,” kata Sing.

Penularan wabak pada awal Januari bermula dalam kalangan penjual ikan, sekali gus mengakibatkan bahagian ikan ditutup selama lima hari  dengan peniaga dan pekerja diperlukan menjalani ujian Covid-19.

Ujian saringan kemudiannya dilanjutkan kepada vendor dan pekerja di bahagian lain. Secara keseluruhan, kira-kira 170 orang di pasar didapati positif Covid-19.

Kini penjualan ikan disambung semula selama kira-kira seminggu dengan penurunan jualan sebanyak 50%. Bagaimanapun Sing masih menyokong pusingan kedua ujian saringan.

Saringan tidak berguna jika MKN memutuskan untuk melonggarkan syarat masuk, katanya sambil menjelaskan tentangannya terhadap surat rayuan.

“Ujian akan jadi sia-sia jika pelanggan yang dijangkiti masuk ke pasar kita mungkin akan menghadapi penularan wabak lagi.”

Beliau berkata ahli persatuan yang lain telah menyatakan pendapat mereka mengenai keputusan tersebut.

Sing berkata, persatuan borong lain berbuat demikian kerana tuntutan ahli persatuan yang mahukan syarat masuk dilonggarkan bagi menjaga kepentingan perniagaan mereka.

Namun, beliau berasa terlalu berisiko untuk tidak meneruskan saringan dan menunjukkan bukti ujian Covid-19 negatif jika mahu masuk ke pasar.

“Susah buat vendor untuk jaga diri mereka sendiri kerana semua gerai berkait. Pelanggan yang dijangkiti akan pergi dari satu vendor ke vendor lain dan boleh membawa virus bersama,” katanya.

Sing juga berkata kos untuk membuat ujian Covid-19, sekitar RM100, harus diambil kira berbanding faedah jangka panjang yang dapat membuatkan mereka berniaga di pasar tanpa menghadapi penutupan berkala.

Penularan Covid-19 bukanlah lawak jenaka, terutamanya apabila orang yang dijangkiti boleh menjadi tidak simptomatik, tambahnya. – 2 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen