Iqram Dinzly atau senaskhah buku?


Hadri Shah

KITA mesti mempersoalkan kembali, mengapa masyarakat hari ini beriya-iya mahu menyelamatkan pelakon bernama Iqram Dinzly? Kenapa tajuk perbualan kita pada setiap hari mesti berkisar pasal Iqram? 

Kenapa tidak kita berbual pasal buku-buku yang sedang galak diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang katanya disebabkan aduan dari orang ramai dan alasan-alasan tipikal seperti “mungkin memudaratkan keselamatan awam”?

Yang mana lebih meresahkan? Yang mana lebih mempengaruhi hidup kelas masyarakat?

Watak bernama Iqram atau nasib sebuah buku?

Tak sampai setengah tahun selepas buku Faisal Tehrani “Aku___ Maka Aku Ada” dan buku karangan Mustapa Akyol diharamkan pada September lepas, kini buku bertajuk Antitesis karya saudara Benz Ali dan Zaid Ibrahim “Assalamualaikum : Observations on The Islamisation of Malaysia” telah diwartakan haram bulan ini.

Kita mesti faham. Isunya bukan penulis.

Sama ada Benz atau Zaid, atau Faisal atau sesiapa sahaja, mengapa nasib buku mesti ditentukan status halal dan haramnya di tangan kelas pemerintah? Mengapa masyarakat yang seluruh hidupnya disibukkan bagi menemukan kebahagiaan buat pemegang sistem menyerahkan maruahnya, pemikirannya, jati dirinya kepada sebuah kelas yang memiliki kemewahan?

Dan mengapa pula ada makhluk-makhluk yang suka mengadu buku ini bahaya, buku itu tak boleh dibaca sebab membawa malapetaka? Siapa mereka semua ini?

Kebebasan dalam konteks menulis dan membaca mempunyai martabat yang tinggi. Kebebasan mempunyai kelasnya yang tersendiri justeru untuk memilikinya bukan mudah. Ia menuntun sebuah perjuangan.

Tetapi sayang. Masyarakat yang sejak azalinya mandul untuk berdiri atas pemikiran sendiri dan merelakan tindak tanduknya ditentukan pihak berkuasa lebih suka untuk menuruti berbanding mengambil bahagian membuat keputusan untuk dirinya. 

Mereka berpura-pura bersikap peduli dengan menyalurkan kepedulian mereka kepada masalah-masalah selebriti, pelakon dan penyanyi. Dengan itu, beban “peduli” di pundak mereka berkurang. Mereka kini menghembus nafas yang menyenangkan setelah isu, skandal artis pujaan selesai.

Apabila senaskhah buku diharamkan, masyarakat buat-buat bodoh. Lebih keji mereka merelakannya. Tanpa mencermati alasan remeh KDN, mereka senang sekali menyetujui tindakan pengharaman buku, kerana bagi mereka yang beragama feudal, kelas pemerintah lebih berhak, lebih mengetahui buruk-baik buku yang dicetak.

Inilah masalah utamanya. Kita sepatutnya lebih matang.

Dengan iPhone X di tangan, dengan teknologi dan fasiliti yang mempercepatkan dan memudahkan proses kehidupan kita, sepatutnya kita lebih berani menentukan apa yang baik dan apa yang tidak.

Biarlah Zaid nak tulis Islamisasi untuk tujuh keturunan sekalipun. Biarlah Benz nak tulis, mengkritik atau mengkondem beribu-ribu ulama, tetapi di akhir helaian buku, sebagai sosok yang matang dan merdeka, kita sendiri yang menentukan apakah idea mereka sesuai atau relevan dengan suasana sekarang. 

Dengan yang demikian, kita sudah merayakan kebebasan. 

Dengan yang demikian, kita mungkin mula menulis semula melawan idea-idea penulis tadi. 

Dengan yang demikian, kita memiliki sebuah kefahaman; boleh atau tidak kritikan, idea dari buku tadi diaplikasikan untuk mengubah sesuatu. 

Bebas bermaksud apabila kita mula menghormati idea berlawanan.

Merdeka bermaksud tiada siapa berhak mengambil alih proses berfikir untuk diri kita dan mengarahkan ini adalah kebaikan, itu adalah keburukan.

Jadi kalian tanya semula, apa yang penting sangat menyelamatkan seorang Iqram ketimbang menyelamatkan sesuatu yang lebih berharga, lebih manusiawi, lebih bermanfaat untuk semua iaitu K.E.B.E.BA.S.A.N? – 28 Disember, 2017.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen