RATUSAN pelarian Rohingya dilaporkan hilang dari kem pelarian di Indonesia.
Mereka dipercayai diseludup masuk ke Malaysia, kata pihak berkuasa pada hari Khamis.
Hanya 112 pelarian yang masih kekal menduduki kem sementara di Lhokseumawe di pantai utara Indonesia berbanding 400 orang yang tiba antara Jun dan September tahun lalu.
Pihak berkuasa tempatan tidak dapat menjelaskan di mana lokasi pelarian dari Myanmar ketika ini, mereka dikhuatiri telah menyeberangi selat Melaka ke Malaysia.
“Kami belum tahu ke mana mereka pergi,” kata Ridwan Jamil, ketua pasukan petugas di Lhokseumawe.
“Mereka akan melarikan diri jika mereka dapat mencari cara untuk meninggalkan kem.”
Tindakan keras tentera Myanmar pada tahun 2017 disifatkan PBB sebagai pembunuhan beramai-ramai. Kejadian itu memaksa 750,000 orang Rohingya melarikan diri melintasi sempadan ke daerah pesisir tenggara Bangladesh, Cox’s Bazar.
Ribuan pelarian membayar penyeludup untuk mengeluarkan mereka dari Bangladesh dan melakukan perjalanan merentasi lautan selama berbulan-bulan untuk sampai ke Indonesia dan Malaysia. – AFP, 28 Januari, 2021.
Komen