ICJ putus kes genosid etnik Rohingya 23 Januari


MAHKAMAH tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan memutuskan keperluan untuk mengambil langkah kecemasan terhadap Myanmar susulan dakwaan berlakunya pembunuhan besar-besaran etnik Islam Rohingya, kata kerajaan Gambia.

Pemimpin awam Myanmar dan pemenang anugerah Nobel Aung San Suu Kyi pada bulan lalu hadir ke The Hague untuk mempertahankan operasi ketenteraan Myanmar terhadap Rohingya pada 2017.

Kira-kira 740,000 etnik minoriti itu menjadi pelarian dan kini berlindung di kem di sempadan Bangladesh.

Pelarian Rohingya mendakwa mereka menjadi mangsa rogol, pembunuhan beramai-ramai dan tempat tinggal mereka dibakar.

Kementerian Kehakiman Gambia menerusi Twitter mengumumkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan membuat keputusan berhubung isu itu pada 21 Januari ini.

Kerajaan negara Afrika Barat itu membawa kes itu terhadap Myanmar ke ICJ dengan sokongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kanada dan Belanda.

Pada sesi pendengaran Disember lalu, Gambia mendakwa Myanmar melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948.

Gambia mendesak agar langkah keselamatan diambil bagi menghalang Myanmar melakukan satu lagi pembunuhan besar-besaran atau cuba menghapuskan bukti.

Bagaimanapun tidak pasti jenis langkah keselamatan yang akan diambil terhadap Myanmar. – AFP,  15 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen