PASUKAN petugas telah dibentuk di Tebedu, Sarawak bagi menilai perbatasan imigresen, kastam, kuarantin dan keselamatan (ICQS) yang sudah berusia 28 tahun.
Dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg, pasukan petugas itu akan diwujudkan berserta cadangan sama ada untuk membaik pulih kompleks itu agar setaraf seperti di sebelah sempadan Indonesia di Entikong ataupun membina kompleks baharu.
Kos itu akan dibahagi sama rata antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh timbalannya, Nur Jalan Mohamed itu telahpun diarahkan untuk menjalankan penilaian teknikal cadangan itu dalam tempoh 14 hari.
Cadangan itu kemudiannya akan diserahkan kepada majlis ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Najib Razak bagi dibincangkan sebelum diserah dan disahkan Kabinet.
“Ia sama ada untuk membaik pulih atau bina semula kompleks baharu dengan kemudahan moden,” kata Zahid dalam sidang media selepas melawat ICQS, 110km dari Kuching, Sarawak.
Lawatan itu adalah susulan kepada keputusan bersama antara Najib dan Presiden Indonesia Joko Widodo pada 22 November lalu ketika sidang eja bulat bersama di Kuching bagi membuka kembali sempadan Tededu dan Entikong di bawah perjanjian baharu.
Zahid berkata, ICQS Tebedu sekurang-kurangnya perlu sama taraf dengan bangunan milik Indonesia di seberang sempadan Entikong.
Dalam kenyataan medianya, beliau berkata, berdasarkan laporan awal, perlunya keperluan untuk membina komplek baharu, selain menambah laluan kenderaan bagi melancarkan aliran trafik dan mengemaskini fasiliti keselamatan.
Tambah Zahid, kuaters juga perlu ditambah untuk anggota yang bertugas di ICQS selain kuarters baharu juga perlu diperbaiki. – 28 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan