Solat Jumaat di Kelantan dibenarkan maksimum 50 jemaah


SOP solat Jumaat dan fardu dikekalkan sebagaimana dikeluarkan sebelum ini dan perlu dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musalla. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2021.

PELAKSANAAN solat Jumaat di masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim di Kelantan dibenarkan mulai Jumaat ini dengan maksimum 50 jemaah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari depan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Temenggong Kelantan Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata bagi solat fardu di masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim, dibenarkan tidak melebihi jumlah 12 orang jemaah termasuk imam tua, imam muda, bilal, siak dan ahli jawatankuasa sahaja.

Katanya bagi solat fardu di surau dan musala dibenarkan hanya lima orang ahli jemaah sahaja termasuk imam, bilal dan ahli jemaah yang terpilih.

“Pelaksanaan ini turut mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu dikekalkan sebagaimana yang dikeluarkan sebelum ini dan perlu dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musalla.

“Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini dan bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya. – Bernama, 25 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen