Apa relevannya PKP 2.0?


Zainal Rashid Ahmad

PAKAR merumuskan isu kontak rapat yang tidak bergejala dan tidak disaring sebagai agen utama penyebaran Covid-19 sejak Oktober lalu.

Realiti ini satu gambaran bahawa kawalan pandemik ketika melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan mulai 14 Januari lalu tidak akan berkesan.

PKP 2.0 tidak menampakkan hasil sekalipun setelah melangkaui 10 hari pelaksanaannya. Angka jangkitan kekal tinggi dengan 4,275 kes semalam.

Secara purata Januari dijangka akan mencatatkan 3,000 kes sehari dan boleh mencapai 100 ribu kes baharu bagi bulan ini sahaja.

Pandangan Prof  Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dari Universiti Malaya yang disiarkan The Malaysian Insight jelas menggambarkan berlakunya wewenang dalam usaha kerajaan menangani “isu sebenar” gelombang ketiga Covid-19. 

“Pihak berkuasa kesihatan menumpukan kepada kes bergejala, sedangkan kontak tidak bergejala paling berpotensi menyebarkan virus ketika mangsa tidak sedar kontak mereka dijangkiti Covid-19,” katanya.

Katanya, tidak semua individu yang disahkan positif Covid-19 akan memaklumkan kepada semua kontak rapat mereka dan menasihatkan supaya menjalani ujian saringan.

Secara hemahnya, Prof Dr Awang Bulgiba cuba menyampaikan – realiti sebenar ketika ini ialah kerajaan memilih cara pada “takuk lama” untuk mengawal lekuk jangkitan.

PKP 2.0 ini relatifnya, seperti satu tindakan “mudah apabila gelabah” untuk menutup kesilapan membenarkan pergerakan rentas negeri yang berleluasa pada Disember apabila musim cuti Hari Krismas dan Tahun Baharu.

Kata Prof Dr Awang, perkembangan ini agak malang dan menunjukkan kegagalan pihak berkuasa kesihatan untuk menguruskan pandemik dengan betul menyebabkan ia membawa kepada kegagalan pengesanan kontak.

Kenyataan Prof Dr Awang juga boleh disifatkan sebagai menyelar silap cuai kerajaan yang mengabaikan dimensi bahaya yang disebarkan kontak tidak disaring. 

“Terdapat bahaya apabila kontak tidak bergejala ini akan menyebabkan penularan terutamanya jika mereka tidak memakai pelitup muka, tidak mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pula meluahkan kebimbangannya mengenai peningkatan jumlah kluster melibatkan tempat kerja mutakhir ini.

Dr Noor Hisham berkata, sejak 6 Januari lalu terdapat  350 kluster baru  dilaporkan. Berdasarkan jumlah itu,  225 atau 64.3% kluster dicetuskan di tempat kerja. 

Ini senario buruk apabila PKP 2.0 yang tidak relevan ini telah mengorbankan ekonomi jutaan rakyat yang dilarang berkerja.

Pada masa sama, sektor pengilangan, pembuatan dan perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi menjadi “neraka” penyebar angka jangkitan yang tinggi dan menjadi punca kesesakan fasiliti kesihatan.

Kata Dr Noor Hisham, sektor perkilangan menyebabkan wujud 80 kluster baharu. Manakala, sektor binaan menyebarkan 53 kluster dan 31 kluster berpunca daripada sektor perkhidmatan.

Rakyat marah dan berasa disia-siakan

#SiBodohKauDengarSini menjadi tanda pagar paling menonjol apabila PKP 2.0 dilaksanakan 10 hari lalu.

Sikap “flip flop” kerajaan dalam menentukan cara mengawal pandemik dianggap menganiaya rakyat.

“Pada Disember lalu, konon nak hilangkan stres rakyat dan dibenarkan balik kampung serta rentas negeri. Sekarang terbalik pula dan PKP yang dilakukan secara tiba-tiba menyebabkan kami putus punca cari makan,” kata Zaidi Karim.

Zaidi yang meminjam wang daripada keluarganya di Melaka bagi memulakan perniagaan kedai makan di Sungai Besi. Langkah terdesak setelah terpaksa menutup restorannya di KL Traders Setapak akibat PKP pertama pada 18 Mac hingga 10 Jun tahun lalu.

“Saya baru mula sebulan lebih di Sungai Besi dengan modal RM12 ribu dan sekarang terpaksa ditutup sekali lagi.

“Saya habis duit bayar cagaran sewa kedai baru sebanyak tiga bulan,” katanya dengan nada kecewa.

Zaidi antara ratusan ribu peniaga kecil di seluruh negara yang terpaksa menutup perniagaan akibat PKP tahun lalu setelah terbeban hutang sewaan.

Mengikut data Jabatan Perangkaan, hampir 100 ribu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) gulung tikar apabila PKP pertama dilaksanakan.

Selain peniaga, rakyat awam yang bekerja rencam hilang turut hilang punca pendapatan. Atau pekerja yang terpaksa cuti tanpa gaji kerana majikan menutup operasi.

“Saya baru saja menyewa bilik di Cheras apabila mendapat kerja di restoran francais dan sekarang baru kerja tak sampai sebulan, dah disuruh cuti tanpa gaji,” kata Safuan Kassim.

Safuan yang kehilangan kerja sebagai pembantu chef di hotel, kini menyokong tanda pagar #SiBodohKauDengarSini.

“Memang ini keputusan bodoh kerana pada Oktober dan Disember kerajaan macam membayangkan semuanya okay dan orang boleh balik kampung pada Disember,” katanya.

Tanpa pekerjaan, kini Safuan menumpang kerja sebagai “runner” peribadi dengan menyebarkan khidmatnya melalui aplikasi WhatsApp.

“Saya buat apa saja dengan gunakan motorsikal samada mengambil upah membelikan makanan sampailah kerja menghantar pesanan perisa vape kepada pelanggan,” katanya.

Safuan bernasib baik kerana memiliki motorsikal dan tinggal di kawasan padat Bandar Tun Razak yang membolehkan dirinya menerima antara lima hingga lapan tempahan “runner” setiap hari.

“Adalah gaji bersih RM30 sehari tetapi kena ikat perut sebab duit kena simpan bayar sewa bilik,” katanya.

Pemegang Diploma Kulinari ini sukar mencari kerja dalam sektor perhotelan yang dianggapnya sudah lumpuh.

“Saya bangun pagi dan memulakan kerja dengan menghubungi kedai-kedai yang ditutup dan bertanyakan peluang menghantar barang yang dijual secara tempahan,” katanya.

Modus Operandi Safuan ialah mendapatkan nama pelanggan yang memesan pelbagai barangan dan menawar khidmat sebagai “runner”.

“Walaupun ditutup, kedai vape masih menjalankan operasi tertutup. Pelanggan tempah barang, saya ambil dan hantarkan dengan caj RM5 ke RM8 mengikut jarak,” jelasnya.

Nak masuk asrama baru sedar positif Covid-19

Berbalik pada kritikan Prof Dr Awang Bulgiba, mengenai kontak tidak disaring, realitinya ketara dengan wujudnya kes-kes di luar jangkaan.

Masyarakat terkejut apabila 36 calon SPM yang kebetulan mahu kembali ke asrama disahkan positif.

Di Sabah, 36 pelajar SPM yang ingin pulang ke asrama dikesan positif Covid-19.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun, semua mereka dikesan positif ketika saringan dijalankan sebelum dibenarkan pulang ke asrama.

Kejadian pada 16 Januari  “membayangkan” persoalan: “Berapa ramai akan dikesan positif sekiranya semua 5.4 juta pelajar disaring sebelum masuk ke sekolah?”

Kes di Sabah satu gambaran, betapa meluasnya “agen” jangkitan yang sedang bebas bergerak di kalangan keluarga dan hanya dapat disahkan positif apabila “terpaksa” melalui ujian saringan.

Di Terengganu, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) ditutup 14 hari berikutan lapan kes positif Covid-19 dikesan minggu lalu.

Satu lagi kes menakutkan apabila kita membayangkan berapa ramai kakitangan sekolah akan diuji positif sekiranya sekolah dibuka pada 20 Januari lalu?

Dengan jumlah 5.4 juta pelajar dan 405 ribu guru di seluruh, kita mungkin memerlukan sepuluh hospital khas untuk kluster sekolah.

Walaupun secara realitinya, kluster tersebut tidak berlaku – namun, logiknya ialah: kalau disaring angkanya pasti ada.

Kewujudan kes di Sabah dan Terengganu menguatkan lagi kita untuk percaya pada pandangan Prof Dr Awang Bulgiba.

Kita yakin, ramai yang diluar sana sedang menjadi agen penyebar wabak secara senyap.

Semua agen ini bebas bersama kontak masing-masing di merata tempat dan secara senyap sedang menambah angka jangkitan.

Lalu timbul soalan: Apa relevannya PKP 2.0?

Kita perlukan ujian saringan diperbanyakkan dan mengalih usaha ke arah menyediaan fasiliti pengasingan.

PKP 2.0 bukan penyelesaian apabila sumber wabak kini sedang berada dalam kalangan ahli keluarga. – 24 Januari, 2021.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen