Warga emas positif Covid-19 disyaki bunuh diri, kata laporan


POLIS percaya kematian seorang lelaki warga emas yang didapati positif Covid-19 di Seri Kembangan pada Jumaat berpunca dari tindakan bunuh diri, kata laporan.

Astro Awani yang memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Serdang Razali Abu Samah menyebut, mangsa mengalami kemurungan dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian.

Menurut Razali, mangsa berusia 66 tahun itu pada awalnya membuat dua ujian saringan Covid-19 pada 7 serta 18 Januari dan kedua-duanya memberi keputusan positif.

“Menurut isterinya, mangsa kerap mengadu kesakitan dan berada dalam keadaan murung apabila disahkan positif Covid-19, malah sering berkata lebih baik mati daripada sakit seperti ini.

Mangsa juga membayar kos tinggi di hospital swasta untuk rawatan Covid-19 dan kemudian memindahkan wang RM40,000 untuk rawatan jangkitan itu pada Jumaat, katanya seperti dipetik.

Pakar kesihatan memberi amaran  kesihatan mental rakyat Malaysia akan terjejas lebih teruk dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perintah darurat yang berkuatkuasa.

Pengamal perubatan mental juga berkata jumlah pesakit yang mengalami kegelisahan dan kemurungan meningkat secara dramatik dan tidak akan berhenti selagi PKP dilaksanakan.

Individu yang mengalami kemurungan dan ketidakstabilan emosi disarankan mendapatkan sokongan dan bantuan daripada badan seperti Befrienders.

Sukarelawan badan ini menyediakan khidmat percuma dalam bentuk sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel [email protected]. – 23 Januari, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen