MEMBENARKAN kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke UiTM tidak melanggar Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, kata kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL).
Pengarahnya, Zaid Malek berkata banyak kenyataan dikeluarkan pelbagai pihak berkenaan isu itu disalahertikan dan memutar belit makna Artikel 153 itu dan kaitannya dengan UiTM.
Zaid mengulas kenyataan Pemuda Bersatu yang mengatakan membuka UiTM untuk kaum lain bercanggah dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Kenyataan Pemuda Bersatu dikeluarkan sebagai menyokong bantahan pelajar UiTM terhadap cadangan membenarkan kemasukan bukan Bumiputera dalam program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks.
“Ia juga menyebabkan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir mengeluarkan kenyataan perkara itu tidak dibincangkan atau diluluskan oleh kementeriannya, yang berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 – UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Ini tidak mengejutkan kerana kerajaan dan pemimpin politik sejak awal 1970-an tersalah tafsir dan menyalahgunakan Artikel 153 untuk kepentingan politik dan menjejaskan perpaduan negara.”
Zaid yang juga seorang peguam berkata Artikel 153(2) membenarkan Agong untuk menentukan pembahagian hak istimewa pendidikan yang munasabah kepada kaum Melayu dan orang asal Sabah dan Sarawak.
“Tetapi Artikel 153(1) menyatakan dengan jelas kepentingan sah kaum lain perlu dilindungi ketika menggunapakai peruntukan itu,” katanya.
Sehubungan itu, tiada dalam Artikel 153 yang menjadikan tindakan membenarkan bukan Bumiputera mendaftarkan diri sebagai pelajar di mana-mana kursus di UiTM, sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan, UiTM berkata ia kekal dengan misinya untuk memperkasakan Bumiputera dan tidak akan mengubah dasar kemasukan pelajar untuk membenarkan kemasukan pelajar semua kaum.
Naib Canselor Shahrin Sahib berkata senat atau majlis eksekutif tidak pernah membincangkan dasar kemasukan pelajar, dan ini selari dengan kenyataan menteri yang kerajaan kekal komited dengan objektif asal UiTM.
Majlis Perwakilan Pelajar UiTM membantah cadangan kemasukan pelajar bukan Bumiputera, menggesa ahlinya mengenakan pakaian berwarna hitam dalam protes itu.
Mengulas lanjut, Zaid menggesa kerajaan jangan terlalu mengikut desakan golongan etnik nasionalisme yang tidak mengendahkan keterdesakan sistem kesihatan negara.
Beliau berkata UiTM adalah universiti awam yang didanai oleh pembayar cukai dan perlu digunakan sepenuhnya bagi memastikan sistem kesihatan negara ini tidak bertambah merosot.
“Adanya pakar bedah membawa perbezaan antara hidup dan mati, tidak kiralah mereka Bumiputera atau bukan Bumiputera.
“Sistem politik berbeza antara Bumiputera dan bukan, tetapi penyakit tidak mengira kaum,” katanya. – 18 Mei, 2024
Komen