Sukarnya belajar dalam talian di waktu pandemik


HARI ini ramai secara nyata terpaksa menghadap kumpulan perbualan Whatsapp. Bukan satu tetapi banyak, mengikut jumlah mata pelajaran perlu diambil oleh anak-anak yang bersekolah.

Sebenarnya, itulah gambaran tekanan kepada seorang anak yang bersekolah.

Pada hari persekolahan biasa, mereka perlu menghadapi pelajaran berbeza dan pada masa yang sama menghadapi kelas, aktiviti luar kelas dan tugasan kerja rumah.

Namun, pada masa yang sama, bagi ibu bapa atau penjaga yang punya anak-anak bersekolah lebih daripada seorang, keserabutan ini pastilah berganda.

Bayangkan misalnya jika bagi dua atau tiga orang anak ada sekitar 10 hingga 20 mata pelajaran mahu dihadap, dengan jenis dan tahapan berbeza.

Bayangkan pula guru-guru yang perlu menyiapkan kandungan secara maya, perlu melayani kemampuan pelajar yang berbeza-beza daya serapan mereka (tambahan pula secara maya), dan maklum balas ibu bapa.

Katakan satu kelas sekitar 30 ibu bapa, masing-masing dengan dua tiga pertanyaan di kumpulan perbualan Whatsapp.

Bayangkan pula guru-guru ini ada empat hingga lima kelas yang diajar. Bayangkan pelbagai beza pelajar dan maklum balas ibu bapa itu.

Bayangkan pula dalam menangani ini mereka tidak dapat pula memberi perhatian kepada pelajaran anak sendiri.

Lebih daripada ini, bayangkan mereka yang tidak mampu dan tidak ada akses kepada kemudahan asas untuk belajar.

Bukan hanya soal kemudahan komputer semasa pandemik ini, bahkan tidak ada kemudahan asas yang cukup semasa keadaan biasa pun!

Bayangkan pula ibu bapa yang terpaksa bergelut dengan mata pencarian di tengah kekalutan ini.

Maka, marilah kita saling renungkan semula. Bukan hanya soal hubungan murid-ibu bapa/penjaga-guru. Jauh daripada itu ialah erti hidup kita. Sebagai manusia. Sebagai sebuah keluarga. Dalam masyarakat.

Jika pandemik ini tidak menginsafkan kita tentang tanggungjawab setiap diri sebagai khalifah. Jika pandemik ini tidak mengingatkan kita tentang kasih sayang dalam sesebuah keluarga.

Jika pandemik ini tidak mengetuk nurani kita tentang kehidupan berjiran dan bermasyarakat. Jika pandemik ini hanya sekadar membuatkan kita semakin bersifat keakuan

Maka terimalah bahawa kita yang perlu berubah. – 21 Januari, 2021.

* Amin Ahmad, ahli Parlimen Kangar.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen