Pakatan kemuka tiga nama, tapi tetap tolak darurat


Pakatan tetap menolak pelaksanaan darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong walau mengemukakan tiga calon untuk jawatankuasa bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2021.

PAKATAN Harapan (PH) mengemukakan tiga nama ahli Parlimen, masing-masing daripada PKR, Amanah dan DAP untuk menyertai jawatankuasa penasihat berkenaan pelaksanaan darurat.

Kenyataan gabungan pembangkang itu menyebut nama Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu), Anthony Loke (Seremban) dan Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) untuk menyertai jawatankuasa itu.

Pada masa sama, PH menegaskan gabungan itu tetap menolak pelaksanaan darurat walau mengemukakan tiga calon berkenaan.

“Penyertaan wakil pembangkang ke dalam jawatankuasa bebas ini tidak mengubah pendirian kami bahawa alasan yang dikemukakan perdana menteri berkenaan keperluan darurat tidak dapat diterima.

“Kami serta majoriti ahli Parlimen juga kekal dengan pendirian bahawa daruratini perlu ditamatkan dan Parlimen perlu bersidang segera,” kenyataan itu dipetik.

Jawatankuasa bebas itu akan mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat yang dikuatkuasa bermula 11 Januari hingga 1 Ogos dapat ditamatkan lebih awal. 

Tiga nama tersebut dikemukakan bagi menjawab permintaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dalam surat kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Ia dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong ke atas cadangan membentuk satu jawatankuasa bebas dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan.

Pembangkang menolak untuk menganggotai jawatankuasa tersebut kerana menganggapnya satu bentuk perakuan kepada keabsahan kerajaan Muhyiddin Yassin.

Pembangkang berpendirian Muhyiddin tidak lagi menguasai majoriti selepas beberapa ahli Parlimen Umno mengmumkan tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Blok kerajaan yang sebelum ini mempunyai 112 kerusi kini berkurangan apabila Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Nazri Aziz (Padang Rengas) mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Pembangkang pula mempunyai 108 kerusi di Dewan Rakyat.

Dua kerusi kosong selepas penyandangnya, masing-masing seorang dari blok kerajaan dan pembangkang, meninggal dunia.

Anwar pada minggu lalu menyeru ahli Parlimen kemudian mengutuskan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan perisytiharan darurat.

Seruan Anwar melalui memorandum yang dihantar kepada semua ahli Parlimen itu juga menggesa wakil rakyat tersebut merayu agar Dewan Rakyat dapat bersidang sebelum akhir bulan ini,

Katanya, sidang tersebut perlu diadakan untuk membahaskan isu darurat, pandemik Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda.

Seluruh persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kini digantung dengan proklamasi darurat yang berkuatkuasa bermula 11 Januari hingga 1 Ogos.

Ia bermaksud semua ahli Parlimen tidak berpeluang untuk melancarkan undi tidak percaya ke atas Muhyiddin di Dewan Rakyat.

Segala pilihan raya juga ditunda dengan perintah tersebut dan membolehkan Muhyiddin terus memimpin kerajaan walaupun tidak menguasai sokongan majoriti. – 21 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen