LIMA tahun setelah adiknya hilang, Ram Ram Elisabeth dari Indonesia masih gigih mencari kata putus sebenar.
Kakaknya Ruth Sitepu yang hilang lima tahun lalu kini menjadi tumpuan siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
“Kami mohon kepada kerajaan Indonesia dan Malaysia untuk membantu kami.
“Kami mahu kes itu selesai dan kami ingin mengetahui nasib Ruth,” katanya dalam majlis webinar menuntut perlindungan negara bagi orang Indonesia yang hilang di Malaysia.
Ruth dan suaminya Pastor Joshua Hilmy disyaki menjadi mangsa hilang-paksa setelah mereka dituduh menarik orang memeluk Kristian dan mula membuat perubatan Kristian kepada orang Islam.
Mereka hilang dari rumah mereka di Petaling Jaya, Selangor pada 2016 dan terus hilang sejak itu.
Ram Ram berkata beliau meminta pertolongan kerajaan Indonesia dan Malaysia.
Pada 2018, dua tahun selepas kehilangan mereka, Ram Ram dan abangnya Iman Setiawan Sitepu membuat laporan orang hilang.
Keluarga Ruth berasal dari kampung nelayan Nambiki di Sumatera utara, Indonesia.
Penyelaras kumpulan masyarakat sivil Indonesia, KontraS, Syahar Banu berkata sejak 2017 mereka telah berhubung dengan pihak berkuasa di negaranya.
“Kami telah mengirim laporan ke institusi hak asasi manusia nasional Indonesia pada 2019. Kami juga mengirim surat kepada suruhanjaya lain tetapi kami belum terima balasan.”
Direktur Pelindungan Warga Negara Indonesia dan Badan Hukum Indonesia, Judha Nugraha berkata sejak mereka menerima laporan tersebut tidak ada bukti hilang-paksa.
“Kami meminta bantuan Kementerian Luar Malaysia pada 2019 dan 2020.
“Kami juga meminta bantuan Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia. Kami ingin bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam kes ini,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Citizen Action Group On Enforced Disappearance (Caged), Rama Ramanathan mendakwa polis tidak memandang serius kes itu.
Rama berkata seorang pelajar bernama Grace Thangamalar tinggal bersama pasangan itu sebelum mereka hilang tetapi polis hanya menemu ramahnya tiga tahun setelah pasangan itu hilang.
“Ini bererti polis sama sekali tidak peduli dengan laporan kehilangan Joshua dan Ruth.”
Undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mentafsirkan kes hilang-paksa itu apabila seseorang secara diam-diam diculik atau dipenjarakan oleh negara atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan negara atau organisasi politik. – 20 Januari, 2021.
Komen