SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tidak berpuas hati dengan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Selangor yang enggan memberi kerjasama dalam siasatan misteri kehilangan pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu.
Saksi ke-14 inkuiri awam Suhakam, Inspektor Zulfadhly Yaacob dari Balai Polis Sungai Way berkata beberapa dokumen yang diminta oleh suruhanjaya itu ditolak TPR atas alasan bimbang maklumat bocor.
Zulfadhly, yang menyiasat kes kehilangan Joshua dan Ruth, berkata TPR juga bimbang ini akan mempengaruhi siasatan mencari mangsa.
“Buat masa ini (menurut TPR) tiada bukti menunjukkan polis menghalang siasatan,” Zulfadhly memberitahu inkuiri hari ini.
Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus kemudian berkata suruhanjaya tidak berpuas hati dengan penjelasan pihak polis dan TPR.
“Kami tidak berpuas hati kerana inkuiri ini di bawah Akta Suhakam. Kami bukan pihak ketiga dan bertindak mengikut undang-undang.
“Jadi, jabatan kerajaan mesti berkongsi maklumat,” katanya.
Tambah Hishamuddin, sekiranya maklumat berkenaan adalah sensitif, maka dokumen boleh diperiksa secara tertutup.
“Kami perlukan maklumat untuk lengkapkan siasatan.”
Hishamuddin kemudian mengarahkan pegawai Suhakam menulis kepada TPR untuk mendapatkan dokumen berkenaan.
Pesuruhjaya Jerald Joseph pula mencelah, berkata Jabatan Peguam Negara sering kali diingatkan mengenai kuasa Suhakam.
“Setiap kali kami minta (dokumen), mesti ada penangguhan. Perkara ini perlu ditegaskan sekali lagi.
“Saya tidak menyalahkan polis tetapi semua orang perlu patuh kepada siasatan kerana Suhakam ditubuhkan di bawah akta Parlimen,” katanya.
Inkuiri dijalankan untuk menyiasat apa yang sebenarnya berlaku kepada Joshua dan isterinya Ruth, yang disyaki menjadi mangsa kehilangan paksa.
Pada 2018 dua tahun selepas mereka hilang, adik beradik Ruth membuat laporan mengenai orang hilang.
Keluarganya berasal dari kampung nelayan Nambiki di utara Sumatera.
Undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mendefinisikan kehilangan paksa apabila seseorang diculik secara senyap-senyap atau dipenjarakan oleh negara atau organisasi politik atau oleh pihak ketiga dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan negara atau organisasi politik. – 11 Januari, 2021.
Komen