HANYA dua daerah di Semenanjung yang masih kekal berstatus zon hijau berikutan tiada kes baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 14 hari.
Dua daerah berkenaan adalah Cameron Highlandas dan Hulu Terengganu, menurut infografik Kementerian Kesihatan (KKM) setakat semalam.
Manakala sebanyak 21 daerah berstatus zon kuning, 13 jingga dan selebihnya merah.
Zon hijau merujuk kepada kawasan yang tiada kes positif Covid-19 dalam tempoh 14 hari, sementara kuning adalah kawasan yang mempunyai 1 hingga 20 kes positif.
Bagi kawasan dengan 21 hingga 40 kes positif pula dirujuk sebagai zon jingga, manakala zon merah bagi kawasan yang melaporkan lebih daripada 40 kes.
Di Sarawak, tiga daerahnya iaitu Kuching, Miri dan Sibu kini berada dalam zon merah susulan lonjakan kes Covid-19.
Setakat semalam, Sibu mencatat 474 kes baharu, Miri (13) dan Kuching (58).
Enam belas lagi daerah berstatus hijau, 12 kuning, manakala jingga satu.
Di Sabah pula, tiada daerah berstatus hijau. Daerah Tongod dan Telupid berada dalam zon kuning; sementara Nabawan, Kuala Penyu dan Belurun jingga. Daerah selebihnya di Sabah berstatus merah.
Malaysia semalam mencatat 4,029 kes Covid-19, sekali gus mencatatkan rekod baharu jumlah kes harian tertinggi dalam tempoh 24 jam sejak kes pertama dikesan di negara ini hampir setahun lalu. β 17 Januari, 2021.
Komen