4,029 lagi kes Covid-19, rekod kes harian tertinggi


Kes baharu itu paling banyak di Selangor (1,466 kes), Johor (719), Sabah (449), Kuala Lumpur (347) dan Negeri Sembilan (214), kata Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2021.

MALAYSIA mengesan 4,029 lagi kes jangkitan Covid-19, umum Kementerian Kesihatan, sekali gus mencatatkan rekod baharu jumlah kes harian tertinggi dalam tempoh 24 jam sejak kes pertama dikesan di negara ini hampir setahun lalu.

Majoriti kes baharu itu dikesan paling banyak di Selangor iaitu sebanyak 1,466 kes, diikuti Johor (719), Sabah (449), Kuala Lumpur (347) dan Negeri Sembilan (214), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kes-kes hari ini adalah daripada aktiviti dan pergerakan sebelum 13 Januari,” katanya, merujuk pada sekatan rentas negeri yang berkuatkuasa sejak Rabu lepas.

Daripada semua kes baharu hari ini, lapan adalah kes yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dalam kenyataan medianya hari ini menggantikan sidang media harian, Dr Noor Hisham juga mengumumkan dengan pertambahan lebih 4,000 kes baharu itu, keseluruhan jangkitan Covid-19 di Malaysia kini mencecah 155,095 kes.

Daripada keseluruhan kes itu, 37,126 kes masih dirawat dengan 205 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 79 kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dalam maklumannya di Twitter berkata kes baharu Covid-19 dijangka akan terus meningkat dalam masa beberapa hari akan datang.

Majlis Keselamatan Negara menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) di beberapa negeri dan daerah, dan pada masa sama mengenakan juga perintah kawalan bersyarat (PKPB) dan pemulihan (PKPP) mengikut tahap jangkitan setempat.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata 8 lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia, menjadikan keseluruhan korban setakat ini 594 orang.

Dalam pada itu, 2,148 lagi pesakit Covid-19 sembuh dalam tempoh 24 jam yang lalu setakat tengah hari ini. – 16 Januari, 2021.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen