2 anak muda gabung tenaga lahirkan lebih ramai akauntan Bumiputera


Aminah Farid

Airil Razali berkata terdapat stigma terutama di kalangan Bumiputera bahawa untuk mendapatkan kelulusan profesional sukar. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Januari, 2021.

DUA anak muda memulakan usaha murni untuk menambah bilangan akauntan Bumiputera dalam pasaran.

Airil Razali, 29, dan Aimran Ridzuan, 21, melalui pusat pendidikan yang dikenali sebagai “Tymba Education”, yang bertujuan menyediakan platform bagi para belia Bumiputera mengikuti program perakaunan profesional.

Kedua-duanya memberitahu The Malaysian Insight, salah satu faktor menyebabkan tidak ramai belia Bumiputera berminat dengan perakaunan kerana kurangnya pendedahan daripada ibu bapa mereka. 

Selain itu, mereka juga mengelak daripada mengambil peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) kerana ia dianggap sukar.

Tymba Education menyediakan jalan bagi pelajar ACCA untuk terus menjadi akauntan bertauliah dengan membantu mereka dalam peperiksaan.

Menurut statistik Institut Akauntan Malaysia (MIA), akauntan Bumiputera hanya 8%, atau kurang daripada 1,800 akauntan di negara ini.

“Masalahnya timbul akibat kurangnya pendedahan yang diberikan kepada belia Bumiputera. Walaupun sijil (ACCA) sudah lama wujud, ibu bapa mungkin berasa hanya diploma dan ijazah yang membolehkan mereka menjadi seorang profesional.

“Selain itu, sering ada stigma terutama di kalangan Bumiputera yang kelulusan profesional sukar. Oleh itu, pelajar mengelak daripada mengambilnya kerana takut gagal,” kata mereka.

Airil, yang merupakan akauntan bertauliah profesional dan ahli Chartered Accountant in England and Wales (ICAEW) berkata Tymba bermula di sebuah kafe.

“Saya baru sahaja meletakkan jawatan pensyarah UiTM pada masa itu dan membantu bekas pelajar saya dengan memberi mereka kelas ulangkaji tambahan. Bersama Aimran, kami memutuskan untuk mewujudkan Tymba,” katanya.

Tidak ramai belia Bumiputera berminat dengan perakaunan kerana kurangnya pendedahan daripada ibu bapa mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Januari, 2021.

“Kami mendapat idea memulakan Tymba di Starbucks Rimbayu. Segala-galanya berjalan begitu pantas pada waktu itu, perbincangan kecil kami berubah menjadi tindakan. Dalam dua jam, kami berbincang, merancang dan mengatur untuk memulakan Tymba.

“Esoknya poster sudah tersebar! Begitulah pantasnya kami bermula.”

“Pendidikan selalu dekat di hati saya. Sebenarnya, saya dan ibu mengendalikan pusat tuisyen kami sendiri sejak 15 tahun lalu. Satu-satunya cara mengubah kehidupan seseorang adalah melalui pendidikan,” tambah Airil.

Beliau berkata walaupun terdapat masalah kerana pandemik Covid-19, Tymba berjaya beralih kepada pembelajaran dalam talian dengan cepat dan tidak menjejaskan pelajaran mereka.

Mereka juga menegaskan walaupun Tymba bukan pusat latihan khas untuk Bumiputera sahaja, mereka percaya penting untuk mengatasi kekurangan akauntan di kalangan mereka. – 17 Januari, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen