Shahnon Ahmad bukan 'shit', dia sasterawan sejati!


Zainal Rashid Ahmad

Sasterawan Negara A Samad Said turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir buat allahyarham Shahnon Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2017.

TIDAK perlu memperkenalkan siapa Shahnon Ahmad. Google dan Wikipedia akan menyelesaikan semua fakta dan perinciannya.

Shahnon sasterawan tersohor dalam dua dimensi; isi di dalam karya-karyanya dan juga personaliti tegarnya sebagai penulis.

Shahnon adalah sebuah institusi; perihal seorang sasterawan negara yang tidak dilekakan oleh gelaran, pingat dan pangkat. Anak jati Baling ini menjadi ikon sasterawan yang punya rekod perlawanan terhadap persekitaran sosial dan politik.

Orang akan mengingat Shahnon kerana novel “Shit” terbitan 1999, tahun penuh ketegangan politik dan reformasi jalanan. Tidak ada novel Melayu yang merakamkan period krisis politik era itu melainkan novel “Shit”.

Shahnon mengkritik tanpa had terhadap Dr Mahathir Mohamad – perdana menteri ketika itu, secara fakta dan bernaskhah. Tidak ada siapa yang berani menafikan, bahawa pada ketika itu, Shahnon boleh dianggap antara sepuluh seteru utama yang berjaya menggugat Dr Mahathir.

Sekali pun sasterawan paling akhir kurun ke-20 sudah dianggap sekadar melukut sosial sahaja, namun Shahnon berjaya menjadikan novel “Shit” sebagai senarai bahan politik yang ditakuti Dr Mahathir.

Akibatnya, novel itu diharamkan. Teori konspirasi Dr Mahathir dan pasukan politiknya pada masa itu sangat mudah: “Shit” karya yang penuh caci-maki dan berbahaya. “Shit” patut diharamkan kerana berunsur fitnah dan hasutan.

Shahnon memang berpersonaliti institusi; dirinya akan menentang dengan jitu segala yang dianggapnya musuh rakyat.

Waktu itu, krisis Dr Mahathir dan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri, membangkitkan kemarahan Shahnon. Justeru, untuk mencela perlakuan tragis itu, lahirlah “Shit”.

Itu bahagian diri Shahnon yang brutal dan tegas dalam soal menentang apa yang ditakrifkannya sebagai musuh rakyat.

Tindakan Dr Mahathir, seniornya di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar menjadikan nama Shahnon tiba-tiba menghero dan merakyat.

Novel “Shit” menjadi fenomena. Orang mencarinya di mana-mana dalam edaran pasaran gelap untuk membacanya.

Malah, agak sinikal pada waktu itu, kerana “Shit” diharamkan, memiliki salinan novel itu sama seperti memiliki naskhah doktrin komunis.

Lupakan bahagian rebel Shahnon yang luar biasa. Tiap orang yang pernah mengenalinya secara peribadi akan lebih mengingati personaliti baiknya ketimbang segala judul buku-bukunya.

Sebahagian orang ramai yang hadir untuk bersama-sama solat jenazah Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2017.

Shahnon pada sisi manusiawinya ialah seorang yang baik hati. Penuh ihsan dan gemar menyampaikan kata-kata pesanan yang mengindahkan pemahaman kita terhadap hidup.

“Cikgu suka nasihatkan kamu… kalau nak berjaya kena ada dua benda. Pertama kemahuan dan kedua usaha, ” katanya.

Shahnon berpegang pada nilai sastera yang mengakar pada isu rakyat. Itu asas kesusasteraannya. Tetapi dia terbuka pada pembaharuan.

“Cikgu bagi A+ untuk cerpen kamu, walaupun tekniknya terlalu monolog, ” katanya: “Walaupun bukan stail Cikgu, tapi ada pembaharuan”.

Atau pada karya yang lain dia akan berkata: “Cikgu tak faham apa idea sebenar dalam karya kamu, terlalu berfalsafah sampai kabur temanya. Tapi, cikgu nampak bakat kamu.”

Itulah keterbukaan Shahnon sebagai guru.

Di pejabatnya, pada 1991/92, ketika dirinya seakan-akan tercampak di Pusat Islam, USM dan tidak berada di arus perdana pentadbiran sastera USM kerana krisis yang sukar difahami, Shahnon tegar dan cekal meneruskan perjuangannya.

Dia dilihat sasterawan di tengah para ilmuan. Dia hebat sebagai novelis, tetapi diabaikan para ilmuan dengan anggapan dirinya bukan akademis tulen. Shahnon lebih dilihat sebagai seniman dan bukan totok ilmuan.

Di Pusat Islam USM, Shahnon menjadi pengarah; seakan-akan simbol ikonik - yang sebuah universiti berorientasikan sains, punya ikon sasterawan negara. Cuma sebagai murid yang berusia 24 tahun, agak sukar saya memahami: Apakah realiti di sebalik sisi kelam politik kampus yang sedang dialami Shahnon.

Pada usia 58 tahun, sudah sedekad bergelar sasterawan negara dan telah pula dianugerahkan profesor, Shahnon sangat matang menangani kem para akademis yang mahu menjadikan ideologi Minden bersifat ilmuan. Bukan kesasterawanan.

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad akan terus dikenang sebagai seorang tokoh sastera sejati yang berani.

Shahnon meminggir (atau dipinggir?), tetapi tetap cekal dan tegar menulis tanpa membiarkan dirinya “dibunuh” oleh persekitaran krisis itu.

Dia terus melahirkan novel-novel hebat sekali pun sesudah meraih gelaran sasterawan negara dan profesor emeritius. Shahnon kemaruk memperjuangkan idea dan falsafah sasteranya. Ketimbang kem ilmuan di depannya yang mabuk dengan teori-teori mimpi pada akademis.

Shahnon tidak akan dilupakan. Dia sasterawan yang menulis dan berjuang. Bukan berjuang untuk sekadar menulis. Shahnon meletakkan status sasterawan negara sebagai milik penulis yang hebat. Bukan sekadar berbakat.

Pastinya, walaupun sudah tiada – dunia sastera Melayu takkan melupakan Shahnon Ahmad. Dia bukan sebuah nama, tetapi susuknya ialah sebuah institusi yang menggambarkan: Sasterawan sejati ialah pejuang yang berani! – 27 Disember, 2017.

* Zainal Rashid Ahmad pernah berguru dengan Shahnon Ahmad sewaktu menuntut di Universiti Sains Malaysia, semasa mula mencipta nama sebagai penulis pada tahun 1990-an.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen