Pengendali bas sekolah terjejas murid tidak sekolah, kata persatuan


Pengendali bas sekolah memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak akan beroperasi jika tidak ramai murid, selain menggesa ibu bapa memahami keadaan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2021.

PENGENDALI bas sekolah sedang mempertimbangkan untuk menggantung atau terus menutup perniagaan mereka memandangkan sesi persekolahan ditangguhkan sementara sebilangan kecil ibu bapa yang anaknya boleh ke sekolah telah mula menuntut diskaun.

Mulai 20 Januari, di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKP bersyarat (PKPB), hanya pelajar tingkatan lima dan enam dibenarkan bersekolah.

Pengendali bas sekolah memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak akan beroperasi jika tidak ramai murid, malah mereka menggesa ibu bapa memahami keadaan mereka.

Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) juga berkata, banyak perniagaan serupa yang melibatkan komitmen pinjaman kenderaan yang tinggi telah tutup kerana pendapatan tidak stabil di waktu pandemik ini.

Presiden GPBSM Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, pengendali sudah memaklumkan ibu bapa yang mereka harus membayar sebulan penuh untuk Januari walaupun sekolah hanya bermula pada 20 haribulan memandangkan pengendali masih perlu membayar kos.

“Walaupun baru 10 hari bersekolah, ibu bapa masih perlu membayar yuran sebulan.

“Jika itu tidak dapat dipersetujui, ibu bapa boleh hantar anak-anak mereka ke sekolah dengan sendiri. Kami sudah keluarkan surat pekeliling mengenai perkara ini dan tidak akan ada penarikan,” kata Rofik.

Beliau berkata, sebilangan ibu bapa yang bekerja tidak keberatan membayar penuh sementara yang lain mungkin menganggap sebagai perbuatan sedekah jariah memandangkan telah berbulan lamanya pengendali tidak berpendapatan.

Walaupun begitu, Rofik menganggarkan hampir separuh daripada ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah akan memilih untuk menghantar anak mereka sendiri.

Ujarnya, memandangkan hanya pelajar tingkatan lima dan enam yang dibenarkan ke sekolah, penumpang bas akan berkurangan kerana kebanyakan remaja sudah boleh menunggang motosikal atau memandu kereta sendiri ke sekolah.

“Sebilangan besar pelajar (90%) yang menggunakan perkhidmatan kami adalah murid sekolah rendah. Sebahagian kecil yang lain, pelajar tingkatan satu hingga tiga.

“Pelajar sekolah menengah hanya merangkumi 10% dari jumlah penumpang kami, jadi jika hanya sebahagian pelajar sekolah menengah yang dibenarkan bersekolah maka kami mungkin tidak beroperasi sama sekali sebab tak cukup untuk tampung kos pengangkutan,” kata Rofik.

GPBSM menggesa ibu bapa menghubungi pengendali bas sekolah di kawasan masing-masing kerana mungkin tidak beroperasi memandangkan jumlah penumpang yang rendah.

Tambah Rofik, pendapatan hanya dapat kembali ke tahap normal jika murid sekolah rendah dibenarkan kembali ke sekolah.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif berkata lebih kurang 30% pengendali telah menamatkan perkhidmatan, sementara sekitar 30% murid kini dihantar ke sekolah oleh ibu bapa mereka.

“Terdapat dua jenis keluarga yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah. Yang pertama adalah keluarga yang perlukan bas sekolah, yang mana ibu bapa perlu bekerja. Mereka tak ada pilihan, dan kebanyakan keluarga ini berasal daripada kumpulan B40.

“Kumpulan kedua adalah keluarga M40. Sebelum ini mereka menggunakan perkhidmatan bas sekolah kerana jadual kerja mereka.

“Tetapi sekarang, sebab kebanyakan bekerja dari rumah, atau diberhentikan kerja, mereka akan memilih untuk menghantar sendiri anak-anak mereka ke sekolah,” katanya.

Pendapatan pengendali bas sekolah hanya dapat kembali ke tahap normal jika murid sekolah rendah dibenarkan kembali ke sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2021.

Dengan mengambil kira bahawa sebilangan ibu bapa mungkin juga ingin mengurangkan kontak anak-anak mereka dengan orang lain, Amali berkata sekitar 30% ibu bapa dijangka menghantar sendiri anak ke sekolah.

Oleh kerana penumpang akan berkurangan, beliau mencadangkan agar pengendali bekerjasama antara satu sama lain untuk mengurangkan jumlah bas yang beroperasi.

“Kami tidak dapat bertahan (jika terlalu sedikit murid), tetapi kami perlu menjalankan perniagaan kami. Sekiranya tidak ada 10 murid di dalam bas, kami perlu kaji semula.

“Mungkin pengendali dapat bekerjasama antara mereka sendiri atau menggunakan bas mini. Kita perlu kurangkan kerugian sebanyak mungkin.

“Sudah tentu, mungkin lebih daripada 30% pengendali boleh tamatkan perkhidmatan mereka di kawasan tertentu. Tetapi secara umum, masih belum diketahui siapa yang akan mengambil pelanggan mereka, mungkin beberapa operator haram akan muncul,” kata Amali.

Beliau berkata, sebelum ini ada beberapa ibu bapa yang diberhentikan dan mengendalikan “perkhidmatan bas sekolah” sendiri, dengan menghantar anak-anak jiran dengan bayaran tertentu.

“Saya harap kerajaan dapat menghalalkan operasi seperti itu dan membiarkan mereka yang telah membeli van atau MPV beroperasi secara terbuka,” katanya.

Tambahnya, tahun lalu, kira-kira 30% pengusaha bas sekolah telah bertukar bidang dan industri, manakala jumlah sebenar hanya akan diketahui setelah sekolah dibuka semula.

“Mereka yang mempunyai hutang telah berhenti beroperasi atau telah bertukar pekerjaan, mungkin sebagai pemandu e-hailing, GrabFood atau bahkan sebagai pemandu lori.

“Bagi mereka, memandu bas sekolah tidak cukup untuk menampung perbelanjaan,” katanya.

Persekutuan itu juga telah meminta bantuan kerajaan negeri dan setakat ini, Pulau Pinang dan Johor bersetuju untuk membantu.

Johor memberikan setiap pengendali bantuan tunggal sebanyak RM500 sementara Pulau Pinang memberikan RM600. Amali berkata wang tunai tidak banyak tetapi sangat dihargai.

Tambahnya, walaupun tahun sekolah belum bermula, pengendali yang merancang untuk menjalankan perniagaan mereka telah menghabiskan ribuan ringgit untuk ujian saringan Covid-19 dan pembasmian kuman.

Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan kini berada di bawah PKP, sementara Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan berada di bawah PKPB. Hanya Sarawak dan Perlis yang kekal di bawah PKPP.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga turut mengisytiharkan perintah darurat, dengan alasan kerajaan perlu memerangi Covid-19 dengan berkesan. – 16 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen